Pages

Saturday 6 October 2012

RUKU'LAH BERSAMA ORANG YANG RUKU'


TAFSIR AYAT 43 SURAH AL-BAQARAH
OLEH : USTAZ MAT RAZALI BIN MAT LAZIN







وَأَقِيمُواْ الصَّلاَةَ وَآتُواْ الزَّكَاةَ وَارْكَعُواْ مَعَ الرَّاكِعِينَ

43. Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan ruku'lah bersama orang-orang yang ruku .(QS.2:43)

Ayat ini merupakan ayat ke 43 dari Surah Al-Baqarah. Setelah ayat-ayat sebelumnya Allah memperingatkan tentang persoalan akidah, iaitu golongan yang mengingkari ayat-ayat Allah dan mendustakan kerasulan baginda Nabi Muhammad s.a.w seperti golongan musyrikin, munafiq, Yahudi dan sebagainya.
Kemudiannya Allah memperincikan kepada persoalan ibadah dan syariatnya. Maka disini Allah menyuruh mendirikan solat lima waktu, tepat pada waktunya dengan cukup pula syarat dan rukunnya, diringi pula mengeluarkan zakat harta dan hasil kekayaannya mengikut nisbahdan kadar yang ditentukan – suruhan secara umum terhadap orang-orang Islam dan Yahudi. Juga suruhan secara khusus kepada orang-orang yahudi  yang selama ini mereka sembahyang mengikut syariat mereka dengan tidak memakai rukuk, hendaklah mereka sembahyang dengan adanya rukuk mengikut syariat Islam dan mengerjakannya bersama-sama Nabi Muahmmad s.a.w dan para sahabatnya r.anhm.
Ayat ini juga menganjurkan bawa tiap-tiap kali mendirikan solat hendaklah dikerjakannya bersama iaitu secara berjemaah. ( Lihat Ahmad Sondhaji dalam Tafsir Al-Quran di radio ). Kata Muqatil Bin Hayyan “ Ia adalah pernyataan Allah s.w.t kepada Ahli Kitab )

Solat

Hukum meninggalkan solat fardu dengan sengaja tanpa keuzuran yang dibenarkan oleh syarak adalah haram dan berdosa besar. Pelaku wajib segera memohon keampunan kepada Allah (istighfar) dan bertaubat. Jumhur ulamak mengatakan wajib qada' (ganti) solat tersebut. Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Perjanjian di antara kita orang Islam dan orang kafir ialah solat dan sesiapa meninggalkan solat sesungguhnya dia telah menjadi seorang kafir. (HR al-Tirmidzi)
Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Sesungguhnya yang membezakan antara seseorang dengan kesyirikkan dan kekufuran adalah dengan meninggalkan solat". (HR Muslim)
Diterangkan oleh An-Nawawi bahawasanya orang yang meninggalkan solat dengan menolak atau mengingkari kewajipan solat, dipandang telah menjadi kafir, telah terkeluar dari Islam. (ijma' ulamak Islam).
Jika dia meninggalkan solat kerana malas atau lalai tetapi masih mengi'tikadkan kewajiban solat itu atas dirinya, maka Imam Malik dan Asy Syafi'i menetapkan bahawa orang itu tidak kafir, hanya dipandang fasik (melakukan dosa besar) dan disuruh bertaubat. Jika dia tidak mahu bertaubat, nescaya dibunuh, selaku suatu hukuman yang mesti dijalankan.
Segolongan ulamak salaf, diantaranya Ahmad dan Ishaq menetapkan bahawa orang yang meninggalkan solat telah kafir dan dihukum bunuh selaku seorang kafir. Abu Hanifah dan al-Muzany menetapkan bahawa orang yang meninggalkan solat tidak dikafirkan dan tidak dibunuh, hanya dipenjarakan dan dita'zirkan sehingga dia kembali mengerjakan solat.

Ancaman Allah ke atas orang yang mengabaikan zakat?

1. Firman Allah;

Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menginfakkannya ke jalan Allah, maka berilah khabar gembira kepada mereka dengan azab yang pedih, iaitu hari di mana emas dan perak itu dipanaskan di dalam neraka Jahannam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, rusuk-rusuk dan punggung-punggung mereka, dan dikatakan kepada mereka: ‘Inilah harta benda yang kamu simpan untuk diri kamu, maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu’”. (at-Taubah: 34-35)

2. Sabda Rasulullah s.a.w.

;من آتاه الله مالا فلم يؤد زكاته مثل له ماله يوم القيامة شجاعا أقرع له زبيبتان يطوقه يوم القيامة ثم يأخذ بلهزمتيه ثم يقول: أنا مالك أنا كنزك

Siapa yang dikurniakan harta oleh Allah namun tidak ditunaikan zakatnya, akan dijadikan harta itu untuknya pada hari kiamat sebagai seekor ular yang licin/botak kepalanya dan mempunyai dua taring. Ular itu akan membelit lehernya, kemudian menggigit kedua rahangnya serta berkata; “Akulah harta kamu. Akulah harta yang kamu simpan”. (Riwayat Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)

Menurut penjelasan ulamak; ular tersebut licin kepalanya kerana terlalu kuat bisanya. Ia adalah ular yang paling ganas dan amat menakutkan.

Kesimpulannya marilah kita insafi diri dengan melaksanakan segala suruhan Allah samada solat ataupun zakat dan menjauhi segala larangan Allah s.w.t.