Pages

Tuesday 8 March 2011

Umar Abd Aziz - Penerus Kegemilangan Khilafah


Biografi

Umar dilahirkan pada tahun 682. Ada dua pendapat mengenaai tempat kelahirannya iaitu pendapat pertama dia dilahirkan di Madinah manakala pendapat kedua mengatakan dia dilahirkan di Mesir. Bapanya ialah Abd al-Aziz, Gabenor Mesir dan adik kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Umar ialah cicit kepada Khalifah ketiga Khulafa al-Rasyidin iaitu Saidina Umar Al-Khatab.

Menjadi Gabenor Madinah

Umar dibesarkan di Madinah dan tinggal di sana sehinggalah kematian ayahnya. Selepas itu dia dipanggil oleh Khalifah Abdul Malik ke Damsyik untuk mengahwini anak Khalifah Abdul Malik, Fatimah. Khalifah Abdul Malik meninggal dunia tidak lama kemudian dan digantikan dengan anaknya Al-Walid I yang kemudian melantik Umar sebagai Gabenor Madinah. Tidak seperti gabenor terdahulu, Umar menubuhkan sebuah majlis untuk membantunya menguruskan Madinah. Ramai orang berhijrah dari Iraq ke Madinah mencari perlindungan daripada kekejaman gabenor Iraq iaitu Al-Hajjaj bin Yusuf. Hal ini mendatangkan kemarahan Gabenor Iraq yang kemudiannya mendesak Khalifah Al-Walid supaya memecat Umar. Walaupun mendapat bantahan penduduk Madinah, Khalifah Al-Walid terpaksa tunduk kepada tuntutan Al-Hajjaj.

Menjadi Khalifah

Umar terus tinggal di Madinah sepanjang pemerintahan Khalifah Al-Walid dan Khalifah Sulaiman. Khalifah Sulaiman yang juga merupakan sepupu Umar amat mengaguminya dan melantik Umar sebagai penggantinya walaupun ditentang oleh saudara terdekatnya. Umar dengan berat hati menerima jawatan ini walaupun mencuba beberapa kali untuk mengubah keputusan Khalifah Sulaiman. Umar tidak mementingkan kekayaan dan kemegahan dan memilih untuk hidup dalam kesederhanaan.
Walaupun mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi rakyat, beliau menggalakkan rakyat supaya memilih khalifah yang baru sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan pemerintahannya. Beliau membahagikan tanah jajahan Ummayyah kepada rakyat dan amat jarang menerima hadiah kerana takut dirasuah. Beliau juga mendesak kaum keluarganya supaya mendermakan barang kemas kepada perbendaharaan awam.

Perubahan Pentadbiran

Umar juga melakukan beberapa perubahan keagamaan. Dia menghapuskan amalan menyumpah Saidina Ali Abi Talib semasa khutbah Jumaat. Khalifah Umar juga menguatkuasakan undang-undang Syariah dan menghapuskan amalan pembayaran cukai Jizyah terhadap saudara baru Islam walaupun mereka telah memeluk Islam.
Walaupun beliau tidak berminat untuk mengembangkan empayar Ummayyah, beliau berjaya menumpaskan beberapa pemberontakan dan penentangan.

Kewafatan

Perubahan yang dilakukannya menimbulkan kemarahan golongan bangsawan Ummayyah yang kemudiannya merasuah seorang hamba untuk meracuni makanannya. Umar mengetahui mengenai perkara ini dan memaafkan pesalah ini. Beliau wafat pada tahun 720 di Aleppo. Beliau digantikan oleh sepupunya Yazid II.

Cebisan kata-kata menarik

Pemerintah selalunya melantik pegawai untuk mengawasi rakyatnya. Aku melantik kamu untuk mengawasi diriku dan kelakuanku. Jika kamu mendapati aku melakukan kesalahan, bimbinglah aku atau halanglah aku daripada melakukannya.
- Umar ibni Abd al-Aziz.

No comments:

Post a Comment