Pages

Saturday 3 March 2012

SYAITAN ITU TAKABBUR

SYAITAN ITU TAKABBUR

TAFSIR AYAT 30-34 SURAH AL-BAQARAH


وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لا تَعْلَمُونَ
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi". Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui".
Dalam ayat ini Allah menjelaskan hakikat penciptaan manusia yang pertama iaitu Nabi Allah Adam ‘Alaihissalam. Ia menolak dakwah bodoh Darwin yang mengatakan bahawa manusia itu berasal daripada monyet dan beruk.
Ketika Allah memberitahu para malaikat [1] tentang akan diciptakan Adam. Maka pemberitahuan ini merupakan pemberitahuan Allah terhadap malaikat[2] dan tidak bermaksud Allah Yang Maha Agung meminta persetujuan malaikat.
Allah akan menjadikan di muka bumi ini seorang khalifah. Kata Imam syanqithi dalam Adhwa’ul Bayan, makna khalifah memberi maksud kepada dua wajah atau dua keadaan. Pertama ia merujuk kepada penciptaan Adam a.s dan keduanya ia merujuk sendiri kepada jama’nya iaitu khalaif yang memberi makna umat manusia sendiri merupakan khalifah Allah di muka bumi ini.
Kemudiannya timbul pertanyaan para malaikat bahawa “ Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau? ” Maka Allah s.w.t. yang maha tahu menjawab pertanyaan tersebut. Ini membuktikan bahawa manusia walau bagaiman hebat sekalipun ilmunya tetap terbatas dan ilmu Allah itu maha luas dan tidak terbatas.
Kemudian ayat ini diteruskan dengan sambungannya :-
وَعَلَّمَ آدَمَ الأسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ
Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar!"
Allah s.w.t telah mengajarkan bapa manusia dengan ilmu. Inilah juga yang ditegaskan dalam ayat pertama daripada Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. kemudian Allah bertanya kepada para Malaikat akan ilmu-ilmu tersebut, maka hal ini tidak dapat diungkap oleh makhlukNya iaitu malaikat lalu para malaikat berkata :-

قَالُوا سُبْحَانَكَ لا عِلْمَ لَنَا إِلا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

Mereka menjawab: "Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.[3]
Inilah doa yang selalu kita amalkan bahwa kita tidak mengetahui sesuatu melainkan ia diajar oleh Allah s.w.t.
Kalimah ‘la’ merupakan penafian tidak ada ilmu kemudian ‘illa’ menjelaskan ilmu yang tiada itu ada dan ia hanya diberikan oleh Allah.
Allah itu maha mengetahui…inilah yang dijelaskan oleh Allah ta’ala :-

قَالَ يَا آدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ

Allah berfirman: "Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini". Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman: "Bukankah sudah Ku katakan kepadamu, bahwa sesungguhnya Aku mengetahui rahasia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?"

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلائِكَةِ اسْجُدُوا لآدَمَ فَسَجَدُوا إِلا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.
Sebahagian orang keliru dengan mengatakan syaitan adalah dari jenis malaikat. Mereka merujuk kepada ayat-ayat dimana Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintah para malaikat untuk sujud kepada Adam. Salah satu dari ayat tersebut:
Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kepada Nabi Adam.” Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan iblis; ia enggan dan takabur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.[4]
Berdasarkan ayat di atas dan lain-lain yang semaksud dengannya, mereka mendakwa iblis dan syaitan adalah dari jenis malaikat, maka kerana itulah ia dihukum kerana enggan sujud kepada Adam. Seandainya iblis dan syaitan bukan dari jenis malaikat, nescaya ia tidak akan dihukum kerana enggan sujud kepada Adam.
Kekeliruan ini dapat diluruskan dengan penjelasan bahawa dalam ayat 50 surah al-Kahf, sebagaimana yang dikemukakan di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menjelaskan bahawa iblis adalah dari jenis jin. Bahkan dalam ayat 12 surah al-A’raaf, Allah telah menjelaskan pengakuan iblis bahawa ia dari api, bahan asas yang sama dengan asal usul jin.
Ada pun ayat 34 surah al-Baqarah dan yang semakna dengannya, perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala yang ditujukan kepada para malaikat tidaklah bererti iblis adalah dari jenis malaikat. Ini kerana dalam kaedah bahasa Arab, apabila wujud dua kumpulan di mana satunya besar dan satu lagi kecil jumlahnya, perintah kepada kumpulan yang besar merangkumi kumpulan yang kecil juga. Pada saat itu para malaikat membentuk kumpulan yang besar manakala para jin membentuk kumpulan yang kecil. Maka apabila perintah sujud kepada Nabi Adam ‘alahissalam diseru kepada para malaikat, ia merangkumi para jin juga.
Besarnya kumpulan malaikat, atau jumlah mereka, telah digambarkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai:
Langit menggeletar dan sudah sememangnya ia menggeletar. Demi diri Muhammad yang berada di Tangan-Nya, tidak ada sejengkal ruang jua (di langit) melainkan terdapatnya dahi malaikat yang sedang bersujud, bertasbih kepada Allah dengan memuji-Nya.[5]
Iblis sedia mengetahui hal ini. Oleh itu apabila ditanyakan “Apakah penghalang yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku (Allah) perintahmu?”, iblis tidak menjawab “Aku tidak sujud kerana perintah hanya dituju kepada para malaikat manakala aku daripada para jin.” Sebaliknya iblis mengakui dia termasuk dalam perintah tersebut namun dia enggan sujud kerana merasakan dirinya lebih hebat. Perhatikan ayat berikut:
Kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud melainkan iblis – ia tidak termasuk dalam golongan yang sujud.
Allah berfirman: “Apakah penghalang yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam. Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.” [6] Oleh itu iblis dan syaitan adalah dari jenis jin dan bukannya malaikat.
Mengapakah iblis enggan sujud? Dalam ayat 34 surah al-Baqarah di atas Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa sebab iblis enggan sujud ialah takbur. Apakah yang dimaksudkan dengan sikap takbur? Allah menjelaskannya dalam beberapa ayat lain. Para pembaca sekalian hendaklah memberi perhatian kepada penjelasan ini kerana mungkin sebahagian darinya ada pada diri kita sendiri tanpa disedari.


1.     Takbur ialah sikap ujub.
Ujub ialah sikap yang merasa diri sendiri lebih hebat, lebih canggih dan lebih baik dari yang selainnya. Sikap inilah yang dimiliki oleh iblis sebagaimana ayat berikut: Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”[7]

2.     Takbur ialah sikap menghina orang lain.
Salah satu maksud takbur yang ada pada iblis ialah sikap menghina, sebagaimana dia menghina bahan-bahan yang menjadi asas penciptaan manusia: Allah berfirman: “Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?”
Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”[8]

3.     Takbur ialah mengunggulkan akal (logik) di atas perintah Allah.
Apabila diperintah untuk sujud kepada manusia, semua penghuni langit sujud kecuali iblis. Oleh kerana sikap takbur yang ada pada dirinya, ia merasakan tidak perlu segera taat kepada perintah Allah. Sebaliknya hendaklah dinilai terlebih dahulu adakah perintah tersebut logik atau tidak.
Setelah dinilai, iblis mendapati perintah tersebut adalah tidak logik kerana api dan tanah tidak berada pada kedudukan yang sama. Antara keduanya, tentu api lebih mulia dari tanah. Justeru takkanlah sesuatu yang dicipta dari api perlu sujud kepada sesuatu yang dicipta dari tanah?
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:  “Sujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: “Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah?”[9]

4.     Takbur ialah mempersoal perintah larangan Allah.
Setelah menilai bahawa perintah sujud kepada manusia adalah tidak logik, iblis bukan sahaja enggan sujud tetapi memberanikan diri menyoal Allah akan perintah-Nya! Perhatikan sikap iblis ini yang Allah ungkapkan dalam al-Qur’an:
Iblis berkata lagi (kepada Allah): “Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?”[10]

Demikian empat sikap takbur yang dimiliki oleh iblis yang menyebabkan ia dihalau keluar dari langit:
Allah berfirman: “Turunlah engkau dari (langit) ini, kerana tidak patut engkau berlaku takbur di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.”[11]

Hendaklah kita sentiasa berwaspada terhadap empat sikap takbur yang dimiliki oleh iblis, iaitu ujub, menghina, mengunggulkan logik atas wahyu dan mempersoalkan wahyu. Allah Subhanahu wa Ta'ala menjelaskan sikap-sikap tersebut tidak lain agar kita mengambil iktibar darinya dan menghindari diri daripada bersikap dengannya. Hendaklah kita memiliki sikap rendah diri, memuliakan orang lain, tunduk kepada wahyu (al-Qur’an dan al-Sunnah) serta tidak mempersoalkannya.
Wallahu A’lam.


[1] Malaikat adalah kata jama’ daripada Malak. Ia merujuk kepada ramai malaikat.
[2] Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menerangkan tentang tiga jenis makhluk ini dalam sabda baginda:

خُلِقَتْ الْمَلاَئِكَةُ مِنْ نُورٍ وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ وَخُلِقَ آدَمُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ.

Diciptakan malaikat dari cahaya, diciptakan jin dari nyalaan api dan diciptakan Adam (manusia)
dari apa yang telah dijelaskan kepada kalian. Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2996 (Kitab al-Zuhd wa al-Raqa’iq, Bab hadis-hadis yang pelbagai).
Merujuk kepada tiga jenis makhluk di atas, yang penting untuk diketahui ialah bahan asas ciptaannya dan bukan bagaimana bahan tersebut berbentuk atau diadun. Ini kerana jika dihimpun semua ayat al-Qur’an dan hadis yang sahih berkenaan asal usul malaikat, jin dan manusia, akan ditemui bahawa bahan-bahan tersebut dinyatakan dalam bentuk yang berbeza atau adunan yang berlainan.

Untuk jin umpamanya, dalam hadis di atas disebut bahawa ia dicipta dari nyalaan api. Akan tetapi dalam ayat 27 surah al-Hijr, disebut bahawa ia dicipta dari (نار السموم) “angin api yang amat panas”. Perbezaan ini sebenarnya saling melengkap dan memperinci antara satu sama lain. Yang penting untuk kita ketahui ialah bahan asas untuk ciptaan jin ialah api.
[3] Sebenarnya terjemahan Hakim dengan Maha Bijaksana kurang tepat, karena arti Hakim ialah: yang mempunyai hikmah. Hikmah ialah penciptaan dan penggunaan sesuatu sesuai dengan sifat, guna dan faedahnya. Di sini diartikan dengan Maha Bijaksana karena dianggap arti tersebut hampir mendekati arti Hakim.
[4] al-Baqarah 2:34
[5] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Mardawiyah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Jami’ al-Shagheir, hadis no: 1020.
[6] al-A’raaf 7:11-12
[7] al-A’raaf 7:12
[8] [al-Hijr 15:33]

[9] [al-Isra’ 17:61]
[10] [al-Isra’ 17:62]
[11] [al-A’raaf 7:13]



No comments:

Post a Comment