Pages

Showing posts with label TAFSIR. Show all posts
Showing posts with label TAFSIR. Show all posts

Saturday, 6 October 2012

RUKU'LAH BERSAMA ORANG YANG RUKU'


TAFSIR AYAT 43 SURAH AL-BAQARAH
OLEH : USTAZ MAT RAZALI BIN MAT LAZIN







وَأَقِيمُواْ الصَّلاَةَ وَآتُواْ الزَّكَاةَ وَارْكَعُواْ مَعَ الرَّاكِعِينَ

43. Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat, dan ruku'lah bersama orang-orang yang ruku .(QS.2:43)

Ayat ini merupakan ayat ke 43 dari Surah Al-Baqarah. Setelah ayat-ayat sebelumnya Allah memperingatkan tentang persoalan akidah, iaitu golongan yang mengingkari ayat-ayat Allah dan mendustakan kerasulan baginda Nabi Muhammad s.a.w seperti golongan musyrikin, munafiq, Yahudi dan sebagainya.
Kemudiannya Allah memperincikan kepada persoalan ibadah dan syariatnya. Maka disini Allah menyuruh mendirikan solat lima waktu, tepat pada waktunya dengan cukup pula syarat dan rukunnya, diringi pula mengeluarkan zakat harta dan hasil kekayaannya mengikut nisbahdan kadar yang ditentukan – suruhan secara umum terhadap orang-orang Islam dan Yahudi. Juga suruhan secara khusus kepada orang-orang yahudi  yang selama ini mereka sembahyang mengikut syariat mereka dengan tidak memakai rukuk, hendaklah mereka sembahyang dengan adanya rukuk mengikut syariat Islam dan mengerjakannya bersama-sama Nabi Muahmmad s.a.w dan para sahabatnya r.anhm.
Ayat ini juga menganjurkan bawa tiap-tiap kali mendirikan solat hendaklah dikerjakannya bersama iaitu secara berjemaah. ( Lihat Ahmad Sondhaji dalam Tafsir Al-Quran di radio ). Kata Muqatil Bin Hayyan “ Ia adalah pernyataan Allah s.w.t kepada Ahli Kitab )

Solat

Hukum meninggalkan solat fardu dengan sengaja tanpa keuzuran yang dibenarkan oleh syarak adalah haram dan berdosa besar. Pelaku wajib segera memohon keampunan kepada Allah (istighfar) dan bertaubat. Jumhur ulamak mengatakan wajib qada' (ganti) solat tersebut. Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Perjanjian di antara kita orang Islam dan orang kafir ialah solat dan sesiapa meninggalkan solat sesungguhnya dia telah menjadi seorang kafir. (HR al-Tirmidzi)
Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Sesungguhnya yang membezakan antara seseorang dengan kesyirikkan dan kekufuran adalah dengan meninggalkan solat". (HR Muslim)
Diterangkan oleh An-Nawawi bahawasanya orang yang meninggalkan solat dengan menolak atau mengingkari kewajipan solat, dipandang telah menjadi kafir, telah terkeluar dari Islam. (ijma' ulamak Islam).
Jika dia meninggalkan solat kerana malas atau lalai tetapi masih mengi'tikadkan kewajiban solat itu atas dirinya, maka Imam Malik dan Asy Syafi'i menetapkan bahawa orang itu tidak kafir, hanya dipandang fasik (melakukan dosa besar) dan disuruh bertaubat. Jika dia tidak mahu bertaubat, nescaya dibunuh, selaku suatu hukuman yang mesti dijalankan.
Segolongan ulamak salaf, diantaranya Ahmad dan Ishaq menetapkan bahawa orang yang meninggalkan solat telah kafir dan dihukum bunuh selaku seorang kafir. Abu Hanifah dan al-Muzany menetapkan bahawa orang yang meninggalkan solat tidak dikafirkan dan tidak dibunuh, hanya dipenjarakan dan dita'zirkan sehingga dia kembali mengerjakan solat.

Ancaman Allah ke atas orang yang mengabaikan zakat?

1. Firman Allah;

Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menginfakkannya ke jalan Allah, maka berilah khabar gembira kepada mereka dengan azab yang pedih, iaitu hari di mana emas dan perak itu dipanaskan di dalam neraka Jahannam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, rusuk-rusuk dan punggung-punggung mereka, dan dikatakan kepada mereka: ‘Inilah harta benda yang kamu simpan untuk diri kamu, maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu’”. (at-Taubah: 34-35)

2. Sabda Rasulullah s.a.w.

;من آتاه الله مالا فلم يؤد زكاته مثل له ماله يوم القيامة شجاعا أقرع له زبيبتان يطوقه يوم القيامة ثم يأخذ بلهزمتيه ثم يقول: أنا مالك أنا كنزك

Siapa yang dikurniakan harta oleh Allah namun tidak ditunaikan zakatnya, akan dijadikan harta itu untuknya pada hari kiamat sebagai seekor ular yang licin/botak kepalanya dan mempunyai dua taring. Ular itu akan membelit lehernya, kemudian menggigit kedua rahangnya serta berkata; “Akulah harta kamu. Akulah harta yang kamu simpan”. (Riwayat Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)

Menurut penjelasan ulamak; ular tersebut licin kepalanya kerana terlalu kuat bisanya. Ia adalah ular yang paling ganas dan amat menakutkan.

Kesimpulannya marilah kita insafi diri dengan melaksanakan segala suruhan Allah samada solat ataupun zakat dan menjauhi segala larangan Allah s.w.t.

Saturday, 29 September 2012

ULAMA YANG JAHAT - TAFSIR AYAT 42 SURAH AL-BAQARAH



TAFSIR AL-QURAN SURAH AL-BAQARAH AYAT 42
OLEH : USTAZ MAT RAZALI MAT LAZIN


وَلاَ تَلْبِسُواْ الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُواْ الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

42. Dan janganlah kamu campur-adukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu  sedang kamu mengetahui.
Di antara yang mereka sembunyikan itu ialah: Tuhan akan mengutus seorang Nabi dari keturunan Ismail yang akan membangun umat yang besar di belakang hari, iaitu Nabi Muhammad s.a.w
Setelah Allah swt menyebut didalam ayat yang lepas berkenaan perihal orang  Yahudi yang mendustakan Al-Quran, Allah jua melarang hambaNya daripada menjual agama dan mencari kesenangan dunia dengan menggadaikan nilai agama Allah pada harga yang murah. Inilah yang disebut pada ayat :-

وَلاَ تَشْتَرُواْ بِآيَاتِي ثَمَناً قَلِيلاً

Dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang rendah (surah Al-Baqarah ayat 41)
Kemudian pada ayat ini  Allah melarang manusia daripada menyembunyikan haq ( kebenaran ) dan jangan mencampurkan antara perkara halal dan haram. Larangan ini merupakan larangan yang besar dan serius. Hal ini kerana haq menentukan halal dan haram adalah ketentuan Allah dan haqNya semata-mata. 
Kaedah inilah yang telah disebut oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawy dalam kitab Al-Halal wa Al-Haram fi Al-Islam sebagai :-

التحليل والتحريم حق الله وحده

“ Menentukan hak halal dan haram adalah hak dan kepunyaan Allah swt Yang Esa ”

Al-Quran telah menempelak golongan yang mencampur adukkan antara kebenaran dan kebathilan. Sehingga diatas tangan-tangan kotor mereka ini menyebabkan hukum Allah bercampur aduk antara larangan dan suruhan. Lalu golongan sebeginilah yang akan menjadi perosak kepada kesucian Agama Islam.
Kalau mereka jahil, tiada pengetahuan tentang yang hak, maka bolehlah dimaafkan. Tetapi apabila yang melakukan perkara ini dikalangan ulama dan cerdik pandai, maka perbuatan itu adalah perbuatan yang sangat buruk dan jahat. Ayat ini juga termasuk bagi orang yang mengetahui sesuatu ilmu yang baik namun menyembunyikannya diatas kepentingan duniawi, maka golongan ini adalah keji disisi Allah. (Lihat Tafsir Al-Quran di Radio oleh Ustaz Ahmad Sondhaji Mohamad, halaman 72)

Suatu kisah yang masyhur berkenaan hal ini diriwayatkan :

المذكور في قوله تعالى: اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّه {التوبة:31}. فعن عدي بن حاتم قال: أتيت النبي صلى الله عليه وسلم وفي عنقي صليب من ذهب فقال يا عدي اطرح عنك هذا الوثن، وسمعته يقرأ في سورة براءة: اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ. قال أما إنهم لم يكونوا يعبدونهم ولكنهم كانوا إذا أحلوا لهم شيئا استحلوه وإذا حرموا عليهم شيئا حرموه. رواه الترمذي وحسنه الألباني.

Pengertian dan pemahaman riwayat di atas adalah sesuai dengan penjelasan yang diberikan oleh terhadap Rasulullah SAW kepada Adi Bin Hatim. Dalam kes tersebut, Adi bin Hatim (yang  ketika itu sebagai seorang Nasrani) telah berkata,
“Aku pernah datang berjumpa Rasulullah dengan memakai rantai salib yang diperbuat daripada perak di leherku. Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Adi, lemparkanlah patung itu daripada lehermu!”. Kemudian aku melemparkannya. Setelah itu, beliau membacakan ayat: (Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan). Aku berkata, 'Sesungguhnya kami tidak menyembah mereka (pendeta dan rahib)'. Lalu Rasul membantah, 'Bukankah para pendeta dan rahib itu mengharamkan apa yang telah Allah halalkan, lalu kalian mengharamkannya. Mereka juga menghalalkan apa yang telah Allah haramkan, lalu kalian menghalalkannya?' . Aku menjawab, 'Memang benar.' Beliau bersabda, 'Itulah bentuk penyembahan kalian kepada para pendeta dan para rahib kalian.” (Rujuk Al-Halal wa Al-Haram fi Al-Islam oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawy)

Maksudnya: mereka mematuhi ajaran-ajaran orang-orang alim dan rahib-rahib mereka dengan membabi buta, biarpun orang-orang alim dan rahib-rahib itu menyuruh membuat maksiat atau mengharamkan yang halal.

وقال ابن القاسم في حاشيته على كتاب التوحيد: دلت على أن من أطاع غير الله في تحليل ما حرم الله، أو تحريم ما أحله فقد اتخذه ربا ومعبودا، وجعله لله شريكا

Justeru apabila melihat ayat-ayat ini, marilah kita insafi diri agar kita tidak termasuk dalam kalangan manusia yang dikurniakan ilmu tetapi menyembunyikan kebenaran bahkan lebih teruk lagi apabila mencampur adukkan hukum Allah demi kepentingan diri.. Wallahu A’lam.

Saturday, 22 September 2012

AMANAH TERHADAP AGAMA



TAFSIR SURAH AL-BAQARAH  AYAT 41                                                                                      OLEH : USTAZ MAT RAZALI BIN MAT LAZIN



Di Dalam ayat ke 41 Allah s.w.t. berfirman :-

وَآمِنُواْ بِمَا أَنزَلْتُ مُصَدِّقاً لِّمَا مَعَكُمْ وَلاَ تَكُونُواْ أَوَّلَ كَافِرٍ بِهِ وَلاَ تَشْتَرُواْ بِآيَاتِي ثَمَناً قَلِيلاً وَإِيَّايَ فَاتَّقُونِ 

Dan berimanlah kamu kepada apa yang telah Aku turunkan (Al-Qur'an) yang membenarkan apa yang ada padamu (Taurat), dan janganlah kamu menjadi orang yang pertama kafir kepadanya, dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang rendah, dan hanya kepada Akulah kamu harus bertaqwa. 1

Didalam ayat ini, Allah s.w.t. menyeru orang orang yahudi  pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. supaya beriman dengan Al-Quran dan membenarkan isinya. Hal ini kerana isinya bersetuju dengan isi kitab mereka  ( Taurat )3 , yang mana dalam kitab mereka (taurat) disebut juga keesaan Tuhan, kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. dan menyebutkan sifat-sifatnya. Maka sekiranya mempercayai kebenaran isi kandungan Al-Quran, barulah orang orang Yahudi dikira sebagai mempercayai Taurat. Sekiranya mereka mengingkari Al-Quran maka mereka juga dalam masa yang sama mengingkari Taurat. 4

Allah s.w.t menceritakan perihal manusia yang beragama dan berbangsa Yahudi.2 Mereka diseru oleh Allah s.w.t. mengiktiraf kebenaran Al-Quran kerana ia kitab samawi yang melengkapkan semua kitab-kitab terdahulu. Firman Allah :-

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ 

Dialah yang mengutus Rasulnya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang-orang musyrik 5  benci.6 
Kemudian ayat yang berbunyi ;

وَلاَ تَكُونُواْ أَوَّلَ كَافِرٍ بِهِ

“janganlah kamu menjadi orang yang pertama kafir kepadanya”

Oleh itu janganlah kamu menjadi orang yang mula-mula menjadi pelopor yang mengingkarinya,7  kerana kamulah orang yang mula-mula mengetahui berkenaan kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. maka sepatutnya kamulah yang mula-mula mengajak orang lain beriman. Dengan sebab keingkaranmu, kamu kelak akan memikul dosamu dan dosa orang-orang yang mengikut jejak langkahmu.8 

Allah s.w.t. menjelaskan dalam ayat ini suatu pesanan dalam kehidupan kita agar tidak memulakan sesuatu yang buruk. Sekiranya kita mengetahui bahawa sesuatu amalan itu dibenci oleh Allah, maka jangalah kita yang mengajar masyarakat melakukan maksiat tersebut bahkan tugas sebenar kita ialah memulakan sesuatu yang baik yang telah diajar oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. sekiranya kita memulakan sesuatu yang baik, maka pahala berterusan diatas kebaikan yang kita mulakan, begitulah juga sebaliknya. Sabda baginda s.a.w. :

من سن سنة حسنة فله أجرها ما عمل بها في حياته ، وبعد مماته حتى تترك ، ومن سن سنة سيئة فعليه إثمها حتى تترك ، و من مات مرابطا جرى عليه عمل المرابط حتى يبعث يوم القيامة

Sesiapa yang memulakan sesuatu sunnah yang baik, maka baginya pahala semasa hidup dan sesudah mati. Maka sesiapa yang memulakan maksiat dan kejahatan, maka baginya dosa dan dia akan menanggungnya selepas kematian. Dan barangsiapa mati, maka amal itu berterusan sehingga hari kiamat. 9 
Kemudian ayat yang berbunyi ;

وَلاَ تَشْتَرُواْ بِآيَاتِي ثَمَناً قَلِيلاً

“Janganlah kamu jual ayat-ayatKu dengan harga yang murah”

Maka janganlah kamu mengelirukan atau memperdayakan orang dengan mempergunakan ayat-ayat Allah s.w.t. sebagai topeng, untuk muslihat diri atau demi memperolehi harta. Kerana nilai harta berbanding dengan ayat-ayat dan pengajaran-pengajaran Allah s.w.t. tiadalah ia berharga.

Ayat ini menurut muafassirin adalah diturunkan keatas Kaab Bin Al-Asyraf 10  dan ketua-ketua serta ulama bangsa Yahudi di Madinah. Mereka telah biasa menerima hasil hasil tanaman, buah-buahan, ternakan dan wang dari anak-anak buah dan pengikut mereka yang jahil. Hasil yang diperolehi itu , kononnya sebagai hadiah kepada ketua-ketua dan orang alim.



Mereka enggan memberitahu kepada pengikut-pengikutnya bahawa Muhammad s.a.w. itu seorang nabi, sebagaimana mestinya seorang alim itu memberitahu perkara yang sebenar mengikut ajaran-ajaran kitab taurat. Malah jika ditanya oleh pengikut-pengikut mereka tentang kenabian rasulullah s.a.w. , sengaja mereka rahsiakan. Di samping itu dikelirukan dengan mengubah tulisan yang ada pada taurat dengan perkataan yang tiada berlawanan dengan kehendak hawa nafsu mereka. Mereka khuatir jika dijelaskan bahawa Muhammad itu sebenar-benarnya nabi, nescaya pengikut-pengikut mereka berpaling tadah menjadi pengikut Muhammad dan mereka akan kempunan dari menerima habuan mereka.

Walaupun ayat ini turun terhadap kejahatan dan penipuan ulama dan pembesar Yahudi seperti kaab, namun diatas kaedah “al-‘ibrah bi ‘umum al-lafzhi, la bi khususi as-sabab”, maka pengajarannya ialah , janganlah kita meniru perangai tidak amanah golongan yahudi. Maka kekesalan kita yang amat sangat apabila melihat adanya segelintir ilmuan yang menjual agama dengan memberikan fatwa-fatwa sesat demi kesenangan hidup dunia. Bahkan tanpa segan silu mentohmah para pejuang agama yang tidak sehaluan dengan mereka dengan tohmahan yang jahat dan penuh ftinah. Semoga Allah merahmati kita semua.
Akhirnya segala kekalutan ini diseru agar kembali takutkan Allah dan meletakkan sebenar-benarnya ketakwaan kepada Allah s.w.t.
Wallahu a’lam.
-----------------------------------------------------------
1. (QS.2:41)

2. Umumnya, dalam kegunaan sekular moden, Yahudi memasukkan tiga kumpulan: orang yang dilahirkan kepada keluarga Yahudi tanpa mengira samada atau tidak mereka mengikut agama tersebut, sesiapa yang mempunyai latarbelakang Yahudi atau keturunan (kadangkala termasuk yang tidak mempunyai keturunan nasab ibu), dan orang yang tanpa sebarang latarbelakang keturunan Yahudi atau keturunan yang ada secara rasmi memeluk ke agama Yahudi dan oleh itu sebagai pengikut agama. Lihat Fowler, Jeaneane D. (1997). World Religions: An Introduction for Students, 7, Sussex Academic Press. ISBN 1898723486.
3. Melengkapkan isi kandungan kitab-kitab terdahulu
4. Lihat Ustaz Ahmad Sonhadji Mohammad dalam  Tafsir Al-Quran di Radio , Surah Al-Baqarah; Pustaka  Salam. Halaman 73
5. Termasuklah golongan Yahudi yang mensyirikkan Allah s.w.t.
6. (QS.61:9)
7. Sebahagian mufassirin mengatakan maksud orang yang mula mula kafir ialah orang yang pertama mengingkarinya dari golongan Yahudi. Hal ini kerana , golongan musyrikin mekah juga merupakan antara golongan terawal mengingkari kenabian Nabi Muhammad s.a.w.
8. Lihat Ustaz Ahmad Sonhadji Mohammad dalam  Tafsir Al-Quran di Radio , Surah Al-Baqarah; Pustaka  Salam. Halaman 73
9. Hadis ini diriwayatkan oleh wasilath bin al-asqa’ al-laithi. Kata syeikh Nasiruddin Al-Albani dalam sahih at-targhib hukumnya hasan sahih.
10. Kaab al-Ashraf adalah antara tokoh orang Yahudi yang paling dengki terhadap Islam dan umat Islam. Beliau sering menyakiti Rasulullah saw, malah terang-terang mengajak orang lain memerangi Rasulullah saw. Rasulullah saw telah memberi tawaran kepada para sahabatnya dengan bersabda: ((Siapa di antara kalian yang boleh selesaikan urusan Kaa’b bin al-Ashraf? Sesungguhnya dia telah menyakiti Allah dan RasulNya)). Lantas bangun Muhammad bin Maslamah sambil berkata: “Akulah, wahai Rasulullah, adakah engkau suka aku membunuhnya?”. Baginda saw menjawab: ((Ya)). Muhammad bin Maslamah berkata: “Izinkan aku untuk mengatakan sesuatu tentang engkau (perkara yang tidak elok)”. Rasulullah menjawab: ((Ya)).
Turut bersama dengan Muhammad bin Maslamah ialah Ubbad bin Bisyr, Abu Naelah (saudara susuan Kaa’b), al-Harith bin Aus dan Abu Abbas bin Hibr. Kumpulan ini diketuai oleh Muhammad bin Maslamah. Muhammad bin Maslamah pergi menemui Kaa’b lalu berkata:-
“Orang ini (iaitu Rasulullah saw) telah meminta dari kami sedekah, sememangnya dia telah menyusahkan kami.” Kaa’b berkata: “Demi Allah, kami boleh usirkan dia”.
Muhammad bin Maslamah: “Kami telah pun mengikuti dan patuh kepadanya. Kami tidak mahu tinggalkan dia begitu saja, kerana kami mahu memerhatikan sampai ke tahap mana dia akan pergi dan apa akan terjadi. Jadi kalau boleh kami mahu engkau pinjamkan kami satu atau dua guni tamar”.Kaa’b: “Boleh, tapi perlu ada cagarannya”.
Muhammad: “Apa yang engkau mahu?”
Kaa’b: “Cagarkan kepadaku perempun-perempuan kamu”.
Muhammad: “Bagaimana kami hendak cagarkan perempuan-perempuan kami, sedangkan engkau adalah orang Arab yang paling kacak”.
Kaa’b: “Kalau begitu, cagarkan saja anak-anak kamu”.
Muhammad: “Bagaimana mungkin kami cagarkan anak-anak kami? Nanti akan ada di kalangan mereka yang mencela: “Apakah kami ini menjadi barang tawaran dengan seguni dua tamar?”. “Ini suatu yang memalukan kami. Tak mengapa, kami cagarkan kepada kamu senjata-senjata”.
Kaa’b bersetuju dengan cagaran ini.
Abu Naelah juga telah melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh Muhammad bin Maslamah. Dia telah datang menemui Kaa’b dan berpura-pura mengadu kepada Kaa’b yang dia tidak puas hati dengan Rasulullah saw. Abu Naelah berkata: Masih ramai lagi yang sependapat dengan aku. Aku ingin membawa mereka untuk mengadap engkau dengan harapan engkau boleh melakukan kebaikan terhadap mereka
Akhirnya Muhamad bin Maslamah dan Abu Naelah telah berjaya memikat hati Kaa’b dan mereka mencapai matlamat. Selepas ini Kaa’b tidak akan lagi curiga apabila mereka datang membawa senjata bersama beberapa orang lain. Pada malam 14 Rabi’awal, tahun ke-3 hijrah, kumpulan Muhamad bin Maslamah ini datang menemui Rasulullah saw untuk memohon restu. Setelah sampai di Kota Kaa’b al-Ashraf, Abu Naelah memanggil nama Kaa’b. Lalu Kaa’b bangun untuk pergi, tetapi dihalang oleh isterinya: “Kemana kamu hendak keluar di waktu malam sebegini? Aku dengar suara itu bagaikan suara titisan darah”. Kaa’b berkata: “Itu adalah saudaraku Muhammad bin Maslamah dan seorang lagi Abu Naelah, saudara susuanku. Orang yang mulia, kalau dijemput kepada tikaman sekalipun, pasti akan disahutnya”. Lalu Kaa’b pun keluar kepada mereka dengan memakai minyak wangi hingga ke hujung rambutnya.
Apabila Kaa’b sampai, Abu Naelah mengajaknya berjalan-jalan sambil berbual. Abu Naelah berkata: “Aku tidak pernah mencium minyak wangi yang begitu harum seperti ini. Kaa’b berasa bangga. Abu Naelah meminta untuk mencium kepalanya. Kaa’b membenarkannya. Lalu mereka berjalan-jalan lagi. Abu Naelah berkata lagi: Boleh aku cium sekali lagi? Silakanlah, Kaa’b menjawab. Kemudian mereka menyambung lagi perbualan sambil berjalan-jalan. Lalu Abu Naelah berkata: Boleh aku cium lagi? Kaa’b berkata: Boleh, silakanlah. Abu Naelah memegang kepala Kaa’b dengan begitu kemas, seolah-olah ingin mencium. Lalu beliau menjerit: “Ini dia musuh Allah. Lalu para sahabat yang turut sama dalam kumpulan Muhamad bin Maslamah, terus menghunuskan pedang silih berganti membunuh Kaa’b. Namun tikaman mereka masih belum berkesan. Lalu Muhammad bin Maslamah pun menikam perut Kaa’b dengan senjatanya, lalu Kaa’b jatuh terkulai-kulai. Akhirnya matilah Kaa’b al-Ashraf.
Kemudian kumpulan ini pulang dan menyampaikan khabar gembira ini kepada Rasulullah saw. Rasulullah saw bersyukur dan sangat gembira.
Apabila kaum Yahudi mengetahui kematian pelampau Kaa’b al-Ashraf, ketakutan pun mula menyelubungi perasaan dan hati-hati mereka. Barulah mereka tahu yang Rasulullah saw tidak akan berlengah untuk menggunakan kekerasan apabila nasihat tidak memberi kesan kepada mereka yang cuba mencabar keamanan, menimbulkan kekacauan dan tidak menghormati perjanjian. (Al-Mubarakfuri, Safiy al-Rahman, al-Rahiq al-Makhtum (Mekah:Rabitah al-Alam islami, 2005), m/s 3


Saturday, 3 March 2012

SYAITAN ITU TAKABBUR

SYAITAN ITU TAKABBUR

TAFSIR AYAT 30-34 SURAH AL-BAQARAH


وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لا تَعْلَمُونَ
Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi". Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui".
Dalam ayat ini Allah menjelaskan hakikat penciptaan manusia yang pertama iaitu Nabi Allah Adam ‘Alaihissalam. Ia menolak dakwah bodoh Darwin yang mengatakan bahawa manusia itu berasal daripada monyet dan beruk.
Ketika Allah memberitahu para malaikat [1] tentang akan diciptakan Adam. Maka pemberitahuan ini merupakan pemberitahuan Allah terhadap malaikat[2] dan tidak bermaksud Allah Yang Maha Agung meminta persetujuan malaikat.
Allah akan menjadikan di muka bumi ini seorang khalifah. Kata Imam syanqithi dalam Adhwa’ul Bayan, makna khalifah memberi maksud kepada dua wajah atau dua keadaan. Pertama ia merujuk kepada penciptaan Adam a.s dan keduanya ia merujuk sendiri kepada jama’nya iaitu khalaif yang memberi makna umat manusia sendiri merupakan khalifah Allah di muka bumi ini.
Kemudiannya timbul pertanyaan para malaikat bahawa “ Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau? ” Maka Allah s.w.t. yang maha tahu menjawab pertanyaan tersebut. Ini membuktikan bahawa manusia walau bagaiman hebat sekalipun ilmunya tetap terbatas dan ilmu Allah itu maha luas dan tidak terbatas.
Kemudian ayat ini diteruskan dengan sambungannya :-
وَعَلَّمَ آدَمَ الأسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ
Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar!"
Allah s.w.t telah mengajarkan bapa manusia dengan ilmu. Inilah juga yang ditegaskan dalam ayat pertama daripada Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. kemudian Allah bertanya kepada para Malaikat akan ilmu-ilmu tersebut, maka hal ini tidak dapat diungkap oleh makhlukNya iaitu malaikat lalu para malaikat berkata :-

قَالُوا سُبْحَانَكَ لا عِلْمَ لَنَا إِلا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

Mereka menjawab: "Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.[3]
Inilah doa yang selalu kita amalkan bahwa kita tidak mengetahui sesuatu melainkan ia diajar oleh Allah s.w.t.
Kalimah ‘la’ merupakan penafian tidak ada ilmu kemudian ‘illa’ menjelaskan ilmu yang tiada itu ada dan ia hanya diberikan oleh Allah.
Allah itu maha mengetahui…inilah yang dijelaskan oleh Allah ta’ala :-

قَالَ يَا آدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ

Allah berfirman: "Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini". Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman: "Bukankah sudah Ku katakan kepadamu, bahwa sesungguhnya Aku mengetahui rahasia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?"

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلائِكَةِ اسْجُدُوا لآدَمَ فَسَجَدُوا إِلا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.
Sebahagian orang keliru dengan mengatakan syaitan adalah dari jenis malaikat. Mereka merujuk kepada ayat-ayat dimana Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintah para malaikat untuk sujud kepada Adam. Salah satu dari ayat tersebut:
Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kepada Nabi Adam.” Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan iblis; ia enggan dan takabur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.[4]
Berdasarkan ayat di atas dan lain-lain yang semaksud dengannya, mereka mendakwa iblis dan syaitan adalah dari jenis malaikat, maka kerana itulah ia dihukum kerana enggan sujud kepada Adam. Seandainya iblis dan syaitan bukan dari jenis malaikat, nescaya ia tidak akan dihukum kerana enggan sujud kepada Adam.
Kekeliruan ini dapat diluruskan dengan penjelasan bahawa dalam ayat 50 surah al-Kahf, sebagaimana yang dikemukakan di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menjelaskan bahawa iblis adalah dari jenis jin. Bahkan dalam ayat 12 surah al-A’raaf, Allah telah menjelaskan pengakuan iblis bahawa ia dari api, bahan asas yang sama dengan asal usul jin.
Ada pun ayat 34 surah al-Baqarah dan yang semakna dengannya, perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala yang ditujukan kepada para malaikat tidaklah bererti iblis adalah dari jenis malaikat. Ini kerana dalam kaedah bahasa Arab, apabila wujud dua kumpulan di mana satunya besar dan satu lagi kecil jumlahnya, perintah kepada kumpulan yang besar merangkumi kumpulan yang kecil juga. Pada saat itu para malaikat membentuk kumpulan yang besar manakala para jin membentuk kumpulan yang kecil. Maka apabila perintah sujud kepada Nabi Adam ‘alahissalam diseru kepada para malaikat, ia merangkumi para jin juga.
Besarnya kumpulan malaikat, atau jumlah mereka, telah digambarkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai:
Langit menggeletar dan sudah sememangnya ia menggeletar. Demi diri Muhammad yang berada di Tangan-Nya, tidak ada sejengkal ruang jua (di langit) melainkan terdapatnya dahi malaikat yang sedang bersujud, bertasbih kepada Allah dengan memuji-Nya.[5]
Iblis sedia mengetahui hal ini. Oleh itu apabila ditanyakan “Apakah penghalang yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku (Allah) perintahmu?”, iblis tidak menjawab “Aku tidak sujud kerana perintah hanya dituju kepada para malaikat manakala aku daripada para jin.” Sebaliknya iblis mengakui dia termasuk dalam perintah tersebut namun dia enggan sujud kerana merasakan dirinya lebih hebat. Perhatikan ayat berikut:
Kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud melainkan iblis – ia tidak termasuk dalam golongan yang sujud.
Allah berfirman: “Apakah penghalang yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam. Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.” [6] Oleh itu iblis dan syaitan adalah dari jenis jin dan bukannya malaikat.
Mengapakah iblis enggan sujud? Dalam ayat 34 surah al-Baqarah di atas Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa sebab iblis enggan sujud ialah takbur. Apakah yang dimaksudkan dengan sikap takbur? Allah menjelaskannya dalam beberapa ayat lain. Para pembaca sekalian hendaklah memberi perhatian kepada penjelasan ini kerana mungkin sebahagian darinya ada pada diri kita sendiri tanpa disedari.


1.     Takbur ialah sikap ujub.
Ujub ialah sikap yang merasa diri sendiri lebih hebat, lebih canggih dan lebih baik dari yang selainnya. Sikap inilah yang dimiliki oleh iblis sebagaimana ayat berikut: Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”[7]

2.     Takbur ialah sikap menghina orang lain.
Salah satu maksud takbur yang ada pada iblis ialah sikap menghina, sebagaimana dia menghina bahan-bahan yang menjadi asas penciptaan manusia: Allah berfirman: “Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?”
Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”[8]

3.     Takbur ialah mengunggulkan akal (logik) di atas perintah Allah.
Apabila diperintah untuk sujud kepada manusia, semua penghuni langit sujud kecuali iblis. Oleh kerana sikap takbur yang ada pada dirinya, ia merasakan tidak perlu segera taat kepada perintah Allah. Sebaliknya hendaklah dinilai terlebih dahulu adakah perintah tersebut logik atau tidak.
Setelah dinilai, iblis mendapati perintah tersebut adalah tidak logik kerana api dan tanah tidak berada pada kedudukan yang sama. Antara keduanya, tentu api lebih mulia dari tanah. Justeru takkanlah sesuatu yang dicipta dari api perlu sujud kepada sesuatu yang dicipta dari tanah?
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:  “Sujudlah kamu kepada Adam”; maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: “Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah?”[9]

4.     Takbur ialah mempersoal perintah larangan Allah.
Setelah menilai bahawa perintah sujud kepada manusia adalah tidak logik, iblis bukan sahaja enggan sujud tetapi memberanikan diri menyoal Allah akan perintah-Nya! Perhatikan sikap iblis ini yang Allah ungkapkan dalam al-Qur’an:
Iblis berkata lagi (kepada Allah): “Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?”[10]

Demikian empat sikap takbur yang dimiliki oleh iblis yang menyebabkan ia dihalau keluar dari langit:
Allah berfirman: “Turunlah engkau dari (langit) ini, kerana tidak patut engkau berlaku takbur di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.”[11]

Hendaklah kita sentiasa berwaspada terhadap empat sikap takbur yang dimiliki oleh iblis, iaitu ujub, menghina, mengunggulkan logik atas wahyu dan mempersoalkan wahyu. Allah Subhanahu wa Ta'ala menjelaskan sikap-sikap tersebut tidak lain agar kita mengambil iktibar darinya dan menghindari diri daripada bersikap dengannya. Hendaklah kita memiliki sikap rendah diri, memuliakan orang lain, tunduk kepada wahyu (al-Qur’an dan al-Sunnah) serta tidak mempersoalkannya.
Wallahu A’lam.


[1] Malaikat adalah kata jama’ daripada Malak. Ia merujuk kepada ramai malaikat.
[2] Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menerangkan tentang tiga jenis makhluk ini dalam sabda baginda:

خُلِقَتْ الْمَلاَئِكَةُ مِنْ نُورٍ وَخُلِقَ الْجَانُّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ وَخُلِقَ آدَمُ مِمَّا وُصِفَ لَكُمْ.

Diciptakan malaikat dari cahaya, diciptakan jin dari nyalaan api dan diciptakan Adam (manusia)
dari apa yang telah dijelaskan kepada kalian. Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2996 (Kitab al-Zuhd wa al-Raqa’iq, Bab hadis-hadis yang pelbagai).
Merujuk kepada tiga jenis makhluk di atas, yang penting untuk diketahui ialah bahan asas ciptaannya dan bukan bagaimana bahan tersebut berbentuk atau diadun. Ini kerana jika dihimpun semua ayat al-Qur’an dan hadis yang sahih berkenaan asal usul malaikat, jin dan manusia, akan ditemui bahawa bahan-bahan tersebut dinyatakan dalam bentuk yang berbeza atau adunan yang berlainan.

Untuk jin umpamanya, dalam hadis di atas disebut bahawa ia dicipta dari nyalaan api. Akan tetapi dalam ayat 27 surah al-Hijr, disebut bahawa ia dicipta dari (نار السموم) “angin api yang amat panas”. Perbezaan ini sebenarnya saling melengkap dan memperinci antara satu sama lain. Yang penting untuk kita ketahui ialah bahan asas untuk ciptaan jin ialah api.
[3] Sebenarnya terjemahan Hakim dengan Maha Bijaksana kurang tepat, karena arti Hakim ialah: yang mempunyai hikmah. Hikmah ialah penciptaan dan penggunaan sesuatu sesuai dengan sifat, guna dan faedahnya. Di sini diartikan dengan Maha Bijaksana karena dianggap arti tersebut hampir mendekati arti Hakim.
[4] al-Baqarah 2:34
[5] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Mardawiyah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Jami’ al-Shagheir, hadis no: 1020.
[6] al-A’raaf 7:11-12
[7] al-A’raaf 7:12
[8] [al-Hijr 15:33]

[9] [al-Isra’ 17:61]
[10] [al-Isra’ 17:62]
[11] [al-A’raaf 7:13]



Thursday, 2 February 2012

JANGAN LUPA ASAL- USUL MU



TAFSIR AL-QURAN SURAH AL-BAQARAH AYAT 28
Oleh : Ustaz Mat Razali Bin Mat Lazin

Firman Allah :-
كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَكُنْتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat kelak); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

( Penerangan )
Di dalam ayat ini Allah melontarkan  pertanyaan dan memberikan pernyataan akan hakikat sebenar manusia. Sesungguhnya manusia yang kufur sebagaimana dijelaskan pada ayat yang sebelumnya yang mengkhianati perjanjian dengan Allah sebenarnya manusia yang lupa dan nyanyuk akan hakikat kebenaran hidup mereka. Mereka lupa    akan asal-usul mereka yang semuanya adalah ciptaan Al-Khaliq iaitu Allah s.w.t.
Kata Al-Fairuz Abadi dalam Tafsir Ibnu Abbas, ayat كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ seolah suatu pertanyaan yang mengejutkan. Bagaimanakah seseorang itu tergamak untuk mengkufuri nikmat Allah, mensyirikkan Allah Taala, dan menidakkan Islam iaitu agama yang diredhai oleh Allah s.w.t.
Inilah pertanyaan yang seringkali diajukan oleh Allah kepada hambaNya yang lupa akan asal usul kejadian mereka.

هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا
Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang dia (masih belum wujud lagi dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)? [1]
Sesungguhnya manusia itu tidak terjadi dengan sendirinya sebagaimana pandangan jahil dari tokoh-tokoh akademik barat. Manusia juga bukanlah evolusi binatang sebagaimana idea dangkal Darwin. Sesungguhnya manusia itu ciptaan Allah dari susur galur keturunan manusia pertama ciptaan Allah iaitu Adam ‘alaihissalam. Allah menciptakan manusia daripada tiada asal menjadi suatu makhluk yang terbaik dan sempurna.

Kemudian Allah menyebut وَكُنْتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُمْ padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu. Allah s.w.t menjadikan manusia daripada tiada kepada makhluk yang wujud.
أمواتا في أصلاب آبائكم ، لم تكونوا شيئا حتى خلقكم ، ثم يميتكم موتة الحق ، ثم يحييكم حين يبعثكم
Kata Ibnu Jarih daripada ‘Atha’ dan daripada Ibnu Abbas r.a. :-
Manusia itu disimpan didalam sulbi ( benih ) bapa-bapa mereka, dan mereka tidak wujud sehinggalah Allah menciptakan mereka. Kemudian Allah mematikan mereka dengan sebenar-benar kematian kemudian Allah jua akan menghidupkan mereka tatkala mereka bangkit pada hari manusia dan makhluk dibangkitkan.
Begitupun, orang-orang kafir itu keras kepala dengan agama Allah. Sehingga banyak pertanyaan mereka yang menggambarkan kebodohan mereka.

وَقَالُوا أَإِذَا ضَلَلْنَا فِي الْأَرْضِ أَإِنَّا لَفِي خَلْقٍ جَدِيدٍ بَلْ هُمْ بِلِقَاءِ رَبِّهِمْ كَافِرُونَ
Dan mereka (yang kafir) itu berkata: Adakah apabila kami telah hilang lenyap dalam tanah, kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baru? Betulkah demikian? (Mereka bukan sahaja tidak percaya tentang hidup semula) bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan dengan Tuhannya.[2]
Manusia itu dimatikan oleh Allah dengan dihidupkan pada rahim ibu bapa mereka dan lahir ke dunia.
Kata Ibnu Abbas,
{ثُمَّ يُمِيتُكُمْ} عِنْد انْقِطَاع آجالكم {ثُمَّ يُحْيِيكُمْ} للبعث {ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ} فِي الْآخِرَة فيجزيكم بأعمالكم
Kemudian mematikan kamu dengan mendatangkan ajal kematian kepada manusia itu, kemudian menghidupkan manusia pada hari kebangkitan dan dikembalikan kepada Allah pada hari akhirat untuk menerima ganjaran dan balasan .
Begitulah sebenarnya hakikat kehidupan manusia ini yang sebenarnya tidak boleh dipisahkan dengan Allah kerana dari Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita kembali. Manusia yang kufur kepada Allah sebenarnya manusia yang amat lupa diri.
Semoga Allah golongkan kita dalam golongan As-Syakiriin iaitu golongan manusia yang bersyukur dengan segala kurniaan Allah dan berpegang teguh pada agamaNya. Wallahu A’lam.


[1] Al-Insan ayat 1
[2] As-Sajdah ayat 10

Thursday, 26 January 2012

FASIQ : SENTIASA DALAM MURKA ALLAH

t TAFSIR AYAT 27 SURAH AL-BAQARAH
( FASIQ : SENTIASA DALAM MURKA ALLAH )

Ustaz Mat Razali Mat Lazin

الَّذِينَ يَنْقُضُونَ عَهْدَ اللَّهِ مِنْ بَعْدِ مِيثَاقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي الأرْضِ أُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ    
Ayat 27 : (Iaitu) orang-orang Yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara Yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. mereka itu ialah orang-orang Yang rugi.

Keterangan ayat :
Setelah Allah s.w.t menceritakan tentang manusia yang sesat dan beriman setelah mendengar ayat-ayat Allah dan perumpamaan yang diberikan oleh Allah. Maka Allah Taala menceritakan golongan yang sesat dan fasik itu pada ayat yang ke 27 dari surah Al-Baqarah.

Dalam ayat ke26, Allah menerangkan tentang kekuasaan Allah yang memberikan hidayah dan kekuasaanNya jua yang menyesatkan manusia . Antara yang disesatkan ialah golongan fasiq[1].

Menurut Abu ‘Aliyah, ayat وَمَا يُضِلُّ بِهِ إِلا الْفَاسِقِينَ merujuk kepada golongan manusia yang munafik. Inilah juga pandangan Ar-Rabi’ dan Ibnu Abbas. Kata Ibnu Abi Hatim ketika menceritakan firman Allah :- يُضِلُّ بِهِ كَثِيرًا  ia merujuk kepada puak khawarij.
Syu’bah meriwayatkan daripada Amru Bin Murrah, bahawa Mus’ab Bin Sa’d pernah bertanya ayahnya tentang makna firman Allah s.w.t pada ayat ke 27, maka kata bapanya itulah puak Haruriyah iaitu Khawarij.  Walaupun riwayat ini sahih dari sanad Saad bin Abi Waqqas, namun tafsiran ini hanya pada makna, bukannya makna yang dinaskan khusus padanya kaum Khawarij yang memberontak terhadap khalifah Ali di Nahrawan, kerana ayat ini turun sebelum hal itu berlaku.

Didalam ayat ini Allah menggambarkan golongan yang fasiq itu sebagai golongan manusia yang tergelincir dari agama sesudah mereka membuat perjanjian dengan Allah Ta’ala. Mereka bersaksi namun mereka tidak taat dan tidak melaksanakan apa yang disaksikan. Hal ini sebanding dengan golongan khawarij yang terkeluar daripada kebenaran dan membangkang sistem Islam. Mereka tidak mahu taat dan tidak mahu menegakkan syariat Islam.
Manusia yang mencabuli perjanjian dengan Allah, maka inilah manusia fasiq yang telah kufur dengan Agama Allah. Maka hendaklah seorang mukmin itu memperteguhkan dirinya agar terus istiqamah dan taat dengan agama Allah..Wallahu A’lam.




[1] Fasiq/Fasik (Bahasa Arab: فاسق‎) berasal dari akar kata fasaqa-yafsiqu/yafsuqu-fisqan-fusûqan.
Secara etimologis (bahasa), dalam ungkapan Arab, fasiq maknanya adalah keluar dari sesuatu atau keluar/menyimpang dari perintah.
Secara terminologis (istilah), orang fasiq adalah orang yang menyaksikan tetapi tidak meyakini dan melaksanakan. Ia juga bermaksud melakukan maksiat, meninggalkan perintah Allah, dan menyimpang dari jalan yang benar.
Fasiq juga bererti menyimpang dari agama dan cenderung pada kemaksiatan; sebagaimana iblis melanggar (fasaqa) perintah Allah, yakni menyimpang dari ketaatan kepada-Nya. Atau orang yang mengaku beragama Islam akan tetapi senantiasa berbuat dosa/kemaksiatan.[perlu rujukan]
Allah SWT berfirman: “Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis; dia adalah berasal dari golongan jin, lalu dia menderhaka terhadap perintah Tuhannya.” (TMQ al-Kahfi [18]:50)      ”

Dalam ayat di atas, frasa berbuat fasiq terhadap perintah Tuhannya ertinya keluar dari ketaatan kepada-Nya.
Fasiq juga bererti keluar dari kebenaran. Kerana itu, fasiq kadang-kadang bererti syirik dan kadang-kadang bererti berbuat dosa. Seseorang dikatakan fasiq jika ia sering melanggar aturan/perintah. Fasiq juga bererti keluar dari sikap istiqamah dan bermaksiat kepada Tuhan. Kerana itu, seseorang yang gemar berbuat bermaksiat disebut orang fasiq.

*Ciri-ciri Orang yang Fasiq

* Tidak berhukum dengan hukum Allah
 “Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasiq.” (TMQ al-Maidah [5]: 47)      ”

* Mempersoalkan perbandingan Allah
“Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmahnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan benda ini? (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan ramai orang sesat dengan sebab perbandingan itu dan akan menjadikan ramai orang mendapat petunjuk dengan sebabnya dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasiq”. (TMQ al-Baqarah [2]:26) ”

* Larangan Mempercayai Orang yang Fasiq
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (TMQ al-Hujurat [49]:6)            ”

* Allah tidak akan memberi petunjuk hidayah
“(Orang-orang munafik itu) sama sahaja engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan mereka; yang demikian itu, kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya; dan Allah tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada kaum yang fasiq.” (TMQ At-Taubah [9]:80)   ”

* Azab Neraka Balasan Orang yang Fasiq
“(Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasiq? Mereka tidaklah sama (dalam menerima balasan). Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan beroleh Syurga tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan. Dan sebaliknya orang-orang yang fasiq, maka tempat kediaman mereka ialah Neraka; tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari Neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: Rasalah azab Neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu.” (TMQ As-Sajadah [32]:(18-20)

Saturday, 12 November 2011

TAFSIR SURAH AL-BAQARAH AYAT 25-27

TAFSIR SURAH AL-BAQARAH AYAT 25-27
OLEH : USTAZ MAT RAZALI BIN MAT LAZIN


بسم الله الرحمن الرحيم
وَبَشِّرْ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأَنْهَارُ كُلَّمَا رُزِقُوا مِنْهَا مِنْ ثَمَرَةٍ رِزْقاً قَالُوا هَذَا الَّذِي رُزِقْنَا مِنْ قَبْلُ وَأُتُوا بِهِ مُتَشَابِهاً وَلَهُمْ فِيهَا أَزْوَاجٌ مُطَهَّرَةٌ وَهُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (25)

25. Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan : "Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu." Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya.

PENERANGAN AYAT

Sesungguhnya Allah menjanjikan syurga yang lengkap dengan kenikmatan kepada hamba-hambaNya. Dalam ayat ini Allah mengkhabarkan kepada rasulNya dan manusia yang beriman dan beramal soleh dengan janji yang akan menggembirakan mereka. Mereka diberikan syurga yang penuh kenikmatan, yang mana padanya ada sungai yang mengalir di bawah mahligai istana yang tinggi dan indah serta pepohonan yang menaungi. Kesemuanya Allah memberikan rezeki buahan yang lazat lalu ahlul iman berkata; kesemua buahan ini telah Allah jadikan dalam kehidupan sebelum ini iaitu kehidupan dunia, namun rasanya teramat sedap dan lazat berbanding dahulu.

Kemudian Allah ta’ala memberikan isteri-isteri yang suci daripada warna kekotoran dari segi zahirnya dan bebas dari akhlak buruk dari segi rohaninya. Mereka (ahli syurga) akan kekal didalamnya dan tidak akan mati atau keluar lagi darinya.

 إِنَّ اللَّهَ لا يَسْتَحْيِي أَنْ يَضْرِبَ مَثَلاً مَا بَعُوضَةً فَمَا فَوْقَهَا فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا فَيَقُولُونَ مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَذَا مَثَلاً يُضِلُّ بِهِ كَثِيراً وَيَهْدِي بِهِ كَثِيراً وَمَا يُضِلُّ بِهِ إِلاَّ الْفَاسِقِينَ (26)

26. Sesungguhnya Allah tiada segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu.[1] Adapun orang-orang yang beriman, maka mereka yakin bahawa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan: "Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?." Dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan Allah[2], dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberiNya petunjuk. Dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik.

PENERANGAN AYAT

Sesungguhnya Allah itu tidak malu untuk memberikan berita kebenaran dengan menyebut perumpamaan samada ianya besar atau kecil. Bahkan inilah sindirin yang diberikan Allah kepada manusia yang menyembah selain daripada Allah s.w.t. Adapun manusia yang beriman, mereka diajarkan hikmah oleh Allah Ta’ala daripada setiap perumpamaan yang diberikan oleh Allah samada ia besar atau kecil.

Namun bagi orang-orang kafir, mereka itu dalam kerugian dan berkata; apa yang Allah umpamakan ini hanya menyesatkan manusia. Sesungguhnya kesesatan itu kerana mereka telah mengingkari akan ayat-ayat Allah. Namun orang yang beriman itu bertambah imannya dengan perumpamaan ini. Allah tidak akan menzalimi seseorang pun kerana Dia ( Allah ) tidak menghilangkan kebenaran kecuali pada manusia yang keluar dari ketaatan kepada Allah.

Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa ketika Allah membuat dua contoh perumpamaan kaum munafiqin dalam firmanNya (Surat Al Baqarah 17 dan 19 iaitu tentang cahaya,bisu,tuli,pekak), berkatalah kaum munafiqin: "Mungkinkah Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Luhur membuat contoh seperti ini?" Maka Allah turunkan ayat tersebut di atas. Ayat ini menegaskan bahawa dengan perumpamaan-perumpamaan yang Allah kemukakan, orang yang beriman akan menjadi lebih tebal imannya. Dan hanya orang fasiq yang akan lebih sesat dari petunjuk Allah.[3]

Dalam riwayat lain dikemukakan bahawa ayat 26 tersebut di atas  diturunkan sehubungan dengan  surah al-Haj ayat 73 dan surat al-Ankabut ayat 41. Dengan reaksi kaum munafiqin yang berkata: "Bagaimana pandanganmu tentang Allah yang menerangkan lalat dan laba-laba di dalam al-Quran yang diturunkan kepada Muhammad. Apakah ini bukan bikinan Muhammad?" [4]

Dalam riwayat lain dikemukakan, bahawa ketika Allah menerangkan laba-laba dan lalat dalam surah     al-Hajj 73 (ayat 73) dan al-Ankabut 41 (ayat 41) kaum musyrikin berkata: "Apa gunanya laba-laba dan lalat diterangkan dalam al-Qur'an?" Maka Allah turunkan ayat tersebut di atas (ayat 26). [5]

Dalam riwayat lain dikemukakan, bahawa ayat tersebut di atas (ayat 26) diturunkan sehubungan dengan surat al-Hajj 73 dan surat al-Ankabut 41, dengan reaksi kaum musyrikin yang berkata: "Contoh macam apakah ini yang tidak patut dibuat perumpamaan?"[6]

Keterangan:

Menurut as-Suyuthi: "Pendapat yang pertama (Ibnu Jarir) lebih shahih sanadnya dan lebih munasabah dengan permulaan surat. Sedangkan yang menerangkan kaum musyrikin, tidak sesuai dengan keadaan ayat Madaniyyah (yang diturunkan di Madinah)." Adapun yang diriwayatkan oleh al-Wahidi (sebagaimana telah kami kemukakan di atas) yang bersumber dari Qatadah dan Hasan, dengan tidak pakai isnad, munasabah apabila menggunakan kata: "Berkatalah kaum Yahudi."  

 الَّذِينَ يَنقُضُونَ عَهْدَ اللَّهِ مِنْ بَعْدِ مِيثَاقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي الأَرْضِ أُوْلَئِكَ هُمْ الْخَاسِرُونَ (27)

Iaitu orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan di muka bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi.

Dalam ayat ini, Allah menyambung dari ayat sebelumnya yang menerangkan sikap dan perangai manusia yang fasik.

Mereka yang fasik adalah manusia yang mengingkari perjanjian dengan Allah, mengingkari utusanNya, meningkari penurunan Al-Quran, menyalahi agama Allah seperti memutuskan silatur rahim, dan membuat kerosakan di muka bumi. Mereka itulah manusia yang rugi di dunia dan di akhirat.

KESIMPULAN

Sesungguhnya janganlah kita menjadi hamba Allah yang ingkar dengan segala syariatnya. Sesungguhnya Allah membrikan perumpamaan yang buruk terhadap golongan yang ingkar dari mentaatiNya. Allah menyediakan pula jannah yang penuh kenikmatan bagi manusia yang melakukan kebaikan dan amal soleh. Wallahu a’lam.



[1] Diwaktu turunnya surat Al Hajj ayat 73 (Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalatpun, walaupun mereka bersatu menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah) yang di dalamnya Tuhan menerangkan bahawa berhala-berhala yang mereka sembah itu tidak dapat membuat lalat, sekalipun mereka kerjakan bersama-sama, dan turunnya surat Al Ankabuut ayat 41 yang di dalamnya Tuhan menggambarkan kelemahan berhala-berhala yang dijadikan oleh orang-orang musyrik itu sebagai pelindung sama dengan lemahnya sarang laba-laba.
[2] Disesatkan Allah bererti: bahawa orang itu sesat berhubung keingkarannya dan tidak mahu memahami petunjuk-petunjuk Allah. Dalam ayat ini, kerana mereka itu ingkar dan tidak mahu memahami apa sebabnya Allah menjadikan nyamuk sebagai perumpamaan, maka mereka itu menjadi sesat.
[3] Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dengan berbagai sanad yang bersumber dari as-Suddi
[4] Diriwatkan oleh al-Wahidi dari Abdul Ghani bin Said at-Tsaqafi, dari Musa bin Abdurrahman dari Ibnu Juraij dari Atha yang bersumber dari Ibnu Abbas. Abdul Ghani sangat dla'if.)
[5] Diriwayatkan oleh Abdurrazaq dalam tafsirnya, dari Ma'mar yang bersumber dari Qatadah
[6] Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim yang bersumber dari Hasan