Pages

Thursday 26 January 2012

FASIQ : SENTIASA DALAM MURKA ALLAH

t TAFSIR AYAT 27 SURAH AL-BAQARAH
( FASIQ : SENTIASA DALAM MURKA ALLAH )

Ustaz Mat Razali Mat Lazin

الَّذِينَ يَنْقُضُونَ عَهْدَ اللَّهِ مِنْ بَعْدِ مِيثَاقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَنْ يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي الأرْضِ أُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ    
Ayat 27 : (Iaitu) orang-orang Yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara Yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. mereka itu ialah orang-orang Yang rugi.

Keterangan ayat :
Setelah Allah s.w.t menceritakan tentang manusia yang sesat dan beriman setelah mendengar ayat-ayat Allah dan perumpamaan yang diberikan oleh Allah. Maka Allah Taala menceritakan golongan yang sesat dan fasik itu pada ayat yang ke 27 dari surah Al-Baqarah.

Dalam ayat ke26, Allah menerangkan tentang kekuasaan Allah yang memberikan hidayah dan kekuasaanNya jua yang menyesatkan manusia . Antara yang disesatkan ialah golongan fasiq[1].

Menurut Abu ‘Aliyah, ayat وَمَا يُضِلُّ بِهِ إِلا الْفَاسِقِينَ merujuk kepada golongan manusia yang munafik. Inilah juga pandangan Ar-Rabi’ dan Ibnu Abbas. Kata Ibnu Abi Hatim ketika menceritakan firman Allah :- يُضِلُّ بِهِ كَثِيرًا  ia merujuk kepada puak khawarij.
Syu’bah meriwayatkan daripada Amru Bin Murrah, bahawa Mus’ab Bin Sa’d pernah bertanya ayahnya tentang makna firman Allah s.w.t pada ayat ke 27, maka kata bapanya itulah puak Haruriyah iaitu Khawarij.  Walaupun riwayat ini sahih dari sanad Saad bin Abi Waqqas, namun tafsiran ini hanya pada makna, bukannya makna yang dinaskan khusus padanya kaum Khawarij yang memberontak terhadap khalifah Ali di Nahrawan, kerana ayat ini turun sebelum hal itu berlaku.

Didalam ayat ini Allah menggambarkan golongan yang fasiq itu sebagai golongan manusia yang tergelincir dari agama sesudah mereka membuat perjanjian dengan Allah Ta’ala. Mereka bersaksi namun mereka tidak taat dan tidak melaksanakan apa yang disaksikan. Hal ini sebanding dengan golongan khawarij yang terkeluar daripada kebenaran dan membangkang sistem Islam. Mereka tidak mahu taat dan tidak mahu menegakkan syariat Islam.
Manusia yang mencabuli perjanjian dengan Allah, maka inilah manusia fasiq yang telah kufur dengan Agama Allah. Maka hendaklah seorang mukmin itu memperteguhkan dirinya agar terus istiqamah dan taat dengan agama Allah..Wallahu A’lam.




[1] Fasiq/Fasik (Bahasa Arab: فاسق) berasal dari akar kata fasaqa-yafsiqu/yafsuqu-fisqan-fusûqan.
Secara etimologis (bahasa), dalam ungkapan Arab, fasiq maknanya adalah keluar dari sesuatu atau keluar/menyimpang dari perintah.
Secara terminologis (istilah), orang fasiq adalah orang yang menyaksikan tetapi tidak meyakini dan melaksanakan. Ia juga bermaksud melakukan maksiat, meninggalkan perintah Allah, dan menyimpang dari jalan yang benar.
Fasiq juga bererti menyimpang dari agama dan cenderung pada kemaksiatan; sebagaimana iblis melanggar (fasaqa) perintah Allah, yakni menyimpang dari ketaatan kepada-Nya. Atau orang yang mengaku beragama Islam akan tetapi senantiasa berbuat dosa/kemaksiatan.[perlu rujukan]
Allah SWT berfirman: “Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis; dia adalah berasal dari golongan jin, lalu dia menderhaka terhadap perintah Tuhannya.” (TMQ al-Kahfi [18]:50)      ”

Dalam ayat di atas, frasa berbuat fasiq terhadap perintah Tuhannya ertinya keluar dari ketaatan kepada-Nya.
Fasiq juga bererti keluar dari kebenaran. Kerana itu, fasiq kadang-kadang bererti syirik dan kadang-kadang bererti berbuat dosa. Seseorang dikatakan fasiq jika ia sering melanggar aturan/perintah. Fasiq juga bererti keluar dari sikap istiqamah dan bermaksiat kepada Tuhan. Kerana itu, seseorang yang gemar berbuat bermaksiat disebut orang fasiq.

*Ciri-ciri Orang yang Fasiq

* Tidak berhukum dengan hukum Allah
 “Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasiq.” (TMQ al-Maidah [5]: 47)     

* Mempersoalkan perbandingan Allah
“Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmahnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan benda ini? (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan ramai orang sesat dengan sebab perbandingan itu dan akan menjadikan ramai orang mendapat petunjuk dengan sebabnya dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasiq”. (TMQ al-Baqarah [2]:26)

* Larangan Mempercayai Orang yang Fasiq
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (TMQ al-Hujurat [49]:6)            ”

* Allah tidak akan memberi petunjuk hidayah
“(Orang-orang munafik itu) sama sahaja engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan mereka; yang demikian itu, kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya; dan Allah tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada kaum yang fasiq.” (TMQ At-Taubah [9]:80)   ”

* Azab Neraka Balasan Orang yang Fasiq
“(Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman sama seperti orang yang fasiq? Mereka tidaklah sama (dalam menerima balasan). Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan beroleh Syurga tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan. Dan sebaliknya orang-orang yang fasiq, maka tempat kediaman mereka ialah Neraka; tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari Neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: Rasalah azab Neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu.” (TMQ As-Sajadah [32]:(18-20)

No comments:

Post a Comment