Pages

Thursday 2 February 2012

JANGAN LUPA ASAL- USUL MU



TAFSIR AL-QURAN SURAH AL-BAQARAH AYAT 28
Oleh : Ustaz Mat Razali Bin Mat Lazin

Firman Allah :-
كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَكُنْتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat kelak); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

( Penerangan )
Di dalam ayat ini Allah melontarkan  pertanyaan dan memberikan pernyataan akan hakikat sebenar manusia. Sesungguhnya manusia yang kufur sebagaimana dijelaskan pada ayat yang sebelumnya yang mengkhianati perjanjian dengan Allah sebenarnya manusia yang lupa dan nyanyuk akan hakikat kebenaran hidup mereka. Mereka lupa    akan asal-usul mereka yang semuanya adalah ciptaan Al-Khaliq iaitu Allah s.w.t.
Kata Al-Fairuz Abadi dalam Tafsir Ibnu Abbas, ayat كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ seolah suatu pertanyaan yang mengejutkan. Bagaimanakah seseorang itu tergamak untuk mengkufuri nikmat Allah, mensyirikkan Allah Taala, dan menidakkan Islam iaitu agama yang diredhai oleh Allah s.w.t.
Inilah pertanyaan yang seringkali diajukan oleh Allah kepada hambaNya yang lupa akan asal usul kejadian mereka.

هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا
Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang dia (masih belum wujud lagi dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)? [1]
Sesungguhnya manusia itu tidak terjadi dengan sendirinya sebagaimana pandangan jahil dari tokoh-tokoh akademik barat. Manusia juga bukanlah evolusi binatang sebagaimana idea dangkal Darwin. Sesungguhnya manusia itu ciptaan Allah dari susur galur keturunan manusia pertama ciptaan Allah iaitu Adam ‘alaihissalam. Allah menciptakan manusia daripada tiada asal menjadi suatu makhluk yang terbaik dan sempurna.

Kemudian Allah menyebut وَكُنْتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُمْ padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu. Allah s.w.t menjadikan manusia daripada tiada kepada makhluk yang wujud.
أمواتا في أصلاب آبائكم ، لم تكونوا شيئا حتى خلقكم ، ثم يميتكم موتة الحق ، ثم يحييكم حين يبعثكم
Kata Ibnu Jarih daripada ‘Atha’ dan daripada Ibnu Abbas r.a. :-
Manusia itu disimpan didalam sulbi ( benih ) bapa-bapa mereka, dan mereka tidak wujud sehinggalah Allah menciptakan mereka. Kemudian Allah mematikan mereka dengan sebenar-benar kematian kemudian Allah jua akan menghidupkan mereka tatkala mereka bangkit pada hari manusia dan makhluk dibangkitkan.
Begitupun, orang-orang kafir itu keras kepala dengan agama Allah. Sehingga banyak pertanyaan mereka yang menggambarkan kebodohan mereka.

وَقَالُوا أَإِذَا ضَلَلْنَا فِي الْأَرْضِ أَإِنَّا لَفِي خَلْقٍ جَدِيدٍ بَلْ هُمْ بِلِقَاءِ رَبِّهِمْ كَافِرُونَ
Dan mereka (yang kafir) itu berkata: Adakah apabila kami telah hilang lenyap dalam tanah, kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baru? Betulkah demikian? (Mereka bukan sahaja tidak percaya tentang hidup semula) bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan dengan Tuhannya.[2]
Manusia itu dimatikan oleh Allah dengan dihidupkan pada rahim ibu bapa mereka dan lahir ke dunia.
Kata Ibnu Abbas,
{ثُمَّ يُمِيتُكُمْ} عِنْد انْقِطَاع آجالكم {ثُمَّ يُحْيِيكُمْ} للبعث {ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ} فِي الْآخِرَة فيجزيكم بأعمالكم
Kemudian mematikan kamu dengan mendatangkan ajal kematian kepada manusia itu, kemudian menghidupkan manusia pada hari kebangkitan dan dikembalikan kepada Allah pada hari akhirat untuk menerima ganjaran dan balasan .
Begitulah sebenarnya hakikat kehidupan manusia ini yang sebenarnya tidak boleh dipisahkan dengan Allah kerana dari Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita kembali. Manusia yang kufur kepada Allah sebenarnya manusia yang amat lupa diri.
Semoga Allah golongkan kita dalam golongan As-Syakiriin iaitu golongan manusia yang bersyukur dengan segala kurniaan Allah dan berpegang teguh pada agamaNya. Wallahu A’lam.


[1] Al-Insan ayat 1
[2] As-Sajdah ayat 10

No comments:

Post a Comment