Pages

Saturday 22 September 2012

AMANAH TERHADAP AGAMA



TAFSIR SURAH AL-BAQARAH  AYAT 41                                                                                      OLEH : USTAZ MAT RAZALI BIN MAT LAZIN



Di Dalam ayat ke 41 Allah s.w.t. berfirman :-

وَآمِنُواْ بِمَا أَنزَلْتُ مُصَدِّقاً لِّمَا مَعَكُمْ وَلاَ تَكُونُواْ أَوَّلَ كَافِرٍ بِهِ وَلاَ تَشْتَرُواْ بِآيَاتِي ثَمَناً قَلِيلاً وَإِيَّايَ فَاتَّقُونِ 

Dan berimanlah kamu kepada apa yang telah Aku turunkan (Al-Qur'an) yang membenarkan apa yang ada padamu (Taurat), dan janganlah kamu menjadi orang yang pertama kafir kepadanya, dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang rendah, dan hanya kepada Akulah kamu harus bertaqwa. 1

Didalam ayat ini, Allah s.w.t. menyeru orang orang yahudi  pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. supaya beriman dengan Al-Quran dan membenarkan isinya. Hal ini kerana isinya bersetuju dengan isi kitab mereka  ( Taurat )3 , yang mana dalam kitab mereka (taurat) disebut juga keesaan Tuhan, kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. dan menyebutkan sifat-sifatnya. Maka sekiranya mempercayai kebenaran isi kandungan Al-Quran, barulah orang orang Yahudi dikira sebagai mempercayai Taurat. Sekiranya mereka mengingkari Al-Quran maka mereka juga dalam masa yang sama mengingkari Taurat. 4

Allah s.w.t menceritakan perihal manusia yang beragama dan berbangsa Yahudi.2 Mereka diseru oleh Allah s.w.t. mengiktiraf kebenaran Al-Quran kerana ia kitab samawi yang melengkapkan semua kitab-kitab terdahulu. Firman Allah :-

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ 

Dialah yang mengutus Rasulnya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang-orang musyrik 5  benci.6 
Kemudian ayat yang berbunyi ;

وَلاَ تَكُونُواْ أَوَّلَ كَافِرٍ بِهِ

“janganlah kamu menjadi orang yang pertama kafir kepadanya”

Oleh itu janganlah kamu menjadi orang yang mula-mula menjadi pelopor yang mengingkarinya,7  kerana kamulah orang yang mula-mula mengetahui berkenaan kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. maka sepatutnya kamulah yang mula-mula mengajak orang lain beriman. Dengan sebab keingkaranmu, kamu kelak akan memikul dosamu dan dosa orang-orang yang mengikut jejak langkahmu.8 

Allah s.w.t. menjelaskan dalam ayat ini suatu pesanan dalam kehidupan kita agar tidak memulakan sesuatu yang buruk. Sekiranya kita mengetahui bahawa sesuatu amalan itu dibenci oleh Allah, maka jangalah kita yang mengajar masyarakat melakukan maksiat tersebut bahkan tugas sebenar kita ialah memulakan sesuatu yang baik yang telah diajar oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. sekiranya kita memulakan sesuatu yang baik, maka pahala berterusan diatas kebaikan yang kita mulakan, begitulah juga sebaliknya. Sabda baginda s.a.w. :

من سن سنة حسنة فله أجرها ما عمل بها في حياته ، وبعد مماته حتى تترك ، ومن سن سنة سيئة فعليه إثمها حتى تترك ، و من مات مرابطا جرى عليه عمل المرابط حتى يبعث يوم القيامة

Sesiapa yang memulakan sesuatu sunnah yang baik, maka baginya pahala semasa hidup dan sesudah mati. Maka sesiapa yang memulakan maksiat dan kejahatan, maka baginya dosa dan dia akan menanggungnya selepas kematian. Dan barangsiapa mati, maka amal itu berterusan sehingga hari kiamat. 9 
Kemudian ayat yang berbunyi ;

وَلاَ تَشْتَرُواْ بِآيَاتِي ثَمَناً قَلِيلاً

“Janganlah kamu jual ayat-ayatKu dengan harga yang murah”

Maka janganlah kamu mengelirukan atau memperdayakan orang dengan mempergunakan ayat-ayat Allah s.w.t. sebagai topeng, untuk muslihat diri atau demi memperolehi harta. Kerana nilai harta berbanding dengan ayat-ayat dan pengajaran-pengajaran Allah s.w.t. tiadalah ia berharga.

Ayat ini menurut muafassirin adalah diturunkan keatas Kaab Bin Al-Asyraf 10  dan ketua-ketua serta ulama bangsa Yahudi di Madinah. Mereka telah biasa menerima hasil hasil tanaman, buah-buahan, ternakan dan wang dari anak-anak buah dan pengikut mereka yang jahil. Hasil yang diperolehi itu , kononnya sebagai hadiah kepada ketua-ketua dan orang alim.



Mereka enggan memberitahu kepada pengikut-pengikutnya bahawa Muhammad s.a.w. itu seorang nabi, sebagaimana mestinya seorang alim itu memberitahu perkara yang sebenar mengikut ajaran-ajaran kitab taurat. Malah jika ditanya oleh pengikut-pengikut mereka tentang kenabian rasulullah s.a.w. , sengaja mereka rahsiakan. Di samping itu dikelirukan dengan mengubah tulisan yang ada pada taurat dengan perkataan yang tiada berlawanan dengan kehendak hawa nafsu mereka. Mereka khuatir jika dijelaskan bahawa Muhammad itu sebenar-benarnya nabi, nescaya pengikut-pengikut mereka berpaling tadah menjadi pengikut Muhammad dan mereka akan kempunan dari menerima habuan mereka.

Walaupun ayat ini turun terhadap kejahatan dan penipuan ulama dan pembesar Yahudi seperti kaab, namun diatas kaedah “al-‘ibrah bi ‘umum al-lafzhi, la bi khususi as-sabab”, maka pengajarannya ialah , janganlah kita meniru perangai tidak amanah golongan yahudi. Maka kekesalan kita yang amat sangat apabila melihat adanya segelintir ilmuan yang menjual agama dengan memberikan fatwa-fatwa sesat demi kesenangan hidup dunia. Bahkan tanpa segan silu mentohmah para pejuang agama yang tidak sehaluan dengan mereka dengan tohmahan yang jahat dan penuh ftinah. Semoga Allah merahmati kita semua.
Akhirnya segala kekalutan ini diseru agar kembali takutkan Allah dan meletakkan sebenar-benarnya ketakwaan kepada Allah s.w.t.
Wallahu a’lam.
-----------------------------------------------------------
1. (QS.2:41)

2. Umumnya, dalam kegunaan sekular moden, Yahudi memasukkan tiga kumpulan: orang yang dilahirkan kepada keluarga Yahudi tanpa mengira samada atau tidak mereka mengikut agama tersebut, sesiapa yang mempunyai latarbelakang Yahudi atau keturunan (kadangkala termasuk yang tidak mempunyai keturunan nasab ibu), dan orang yang tanpa sebarang latarbelakang keturunan Yahudi atau keturunan yang ada secara rasmi memeluk ke agama Yahudi dan oleh itu sebagai pengikut agama. Lihat Fowler, Jeaneane D. (1997). World Religions: An Introduction for Students, 7, Sussex Academic Press. ISBN 1898723486.
3. Melengkapkan isi kandungan kitab-kitab terdahulu
4. Lihat Ustaz Ahmad Sonhadji Mohammad dalam  Tafsir Al-Quran di Radio , Surah Al-Baqarah; Pustaka  Salam. Halaman 73
5. Termasuklah golongan Yahudi yang mensyirikkan Allah s.w.t.
6. (QS.61:9)
7. Sebahagian mufassirin mengatakan maksud orang yang mula mula kafir ialah orang yang pertama mengingkarinya dari golongan Yahudi. Hal ini kerana , golongan musyrikin mekah juga merupakan antara golongan terawal mengingkari kenabian Nabi Muhammad s.a.w.
8. Lihat Ustaz Ahmad Sonhadji Mohammad dalam  Tafsir Al-Quran di Radio , Surah Al-Baqarah; Pustaka  Salam. Halaman 73
9. Hadis ini diriwayatkan oleh wasilath bin al-asqa’ al-laithi. Kata syeikh Nasiruddin Al-Albani dalam sahih at-targhib hukumnya hasan sahih.
10. Kaab al-Ashraf adalah antara tokoh orang Yahudi yang paling dengki terhadap Islam dan umat Islam. Beliau sering menyakiti Rasulullah saw, malah terang-terang mengajak orang lain memerangi Rasulullah saw. Rasulullah saw telah memberi tawaran kepada para sahabatnya dengan bersabda: ((Siapa di antara kalian yang boleh selesaikan urusan Kaa’b bin al-Ashraf? Sesungguhnya dia telah menyakiti Allah dan RasulNya)). Lantas bangun Muhammad bin Maslamah sambil berkata: “Akulah, wahai Rasulullah, adakah engkau suka aku membunuhnya?”. Baginda saw menjawab: ((Ya)). Muhammad bin Maslamah berkata: “Izinkan aku untuk mengatakan sesuatu tentang engkau (perkara yang tidak elok)”. Rasulullah menjawab: ((Ya)).
Turut bersama dengan Muhammad bin Maslamah ialah Ubbad bin Bisyr, Abu Naelah (saudara susuan Kaa’b), al-Harith bin Aus dan Abu Abbas bin Hibr. Kumpulan ini diketuai oleh Muhammad bin Maslamah. Muhammad bin Maslamah pergi menemui Kaa’b lalu berkata:-
“Orang ini (iaitu Rasulullah saw) telah meminta dari kami sedekah, sememangnya dia telah menyusahkan kami.” Kaa’b berkata: “Demi Allah, kami boleh usirkan dia”.
Muhammad bin Maslamah: “Kami telah pun mengikuti dan patuh kepadanya. Kami tidak mahu tinggalkan dia begitu saja, kerana kami mahu memerhatikan sampai ke tahap mana dia akan pergi dan apa akan terjadi. Jadi kalau boleh kami mahu engkau pinjamkan kami satu atau dua guni tamar”.Kaa’b: “Boleh, tapi perlu ada cagarannya”.
Muhammad: “Apa yang engkau mahu?”
Kaa’b: “Cagarkan kepadaku perempun-perempuan kamu”.
Muhammad: “Bagaimana kami hendak cagarkan perempuan-perempuan kami, sedangkan engkau adalah orang Arab yang paling kacak”.
Kaa’b: “Kalau begitu, cagarkan saja anak-anak kamu”.
Muhammad: “Bagaimana mungkin kami cagarkan anak-anak kami? Nanti akan ada di kalangan mereka yang mencela: “Apakah kami ini menjadi barang tawaran dengan seguni dua tamar?”. “Ini suatu yang memalukan kami. Tak mengapa, kami cagarkan kepada kamu senjata-senjata”.
Kaa’b bersetuju dengan cagaran ini.
Abu Naelah juga telah melakukan perkara yang sama seperti yang dilakukan oleh Muhammad bin Maslamah. Dia telah datang menemui Kaa’b dan berpura-pura mengadu kepada Kaa’b yang dia tidak puas hati dengan Rasulullah saw. Abu Naelah berkata: Masih ramai lagi yang sependapat dengan aku. Aku ingin membawa mereka untuk mengadap engkau dengan harapan engkau boleh melakukan kebaikan terhadap mereka
Akhirnya Muhamad bin Maslamah dan Abu Naelah telah berjaya memikat hati Kaa’b dan mereka mencapai matlamat. Selepas ini Kaa’b tidak akan lagi curiga apabila mereka datang membawa senjata bersama beberapa orang lain. Pada malam 14 Rabi’awal, tahun ke-3 hijrah, kumpulan Muhamad bin Maslamah ini datang menemui Rasulullah saw untuk memohon restu. Setelah sampai di Kota Kaa’b al-Ashraf, Abu Naelah memanggil nama Kaa’b. Lalu Kaa’b bangun untuk pergi, tetapi dihalang oleh isterinya: “Kemana kamu hendak keluar di waktu malam sebegini? Aku dengar suara itu bagaikan suara titisan darah”. Kaa’b berkata: “Itu adalah saudaraku Muhammad bin Maslamah dan seorang lagi Abu Naelah, saudara susuanku. Orang yang mulia, kalau dijemput kepada tikaman sekalipun, pasti akan disahutnya”. Lalu Kaa’b pun keluar kepada mereka dengan memakai minyak wangi hingga ke hujung rambutnya.
Apabila Kaa’b sampai, Abu Naelah mengajaknya berjalan-jalan sambil berbual. Abu Naelah berkata: “Aku tidak pernah mencium minyak wangi yang begitu harum seperti ini. Kaa’b berasa bangga. Abu Naelah meminta untuk mencium kepalanya. Kaa’b membenarkannya. Lalu mereka berjalan-jalan lagi. Abu Naelah berkata lagi: Boleh aku cium sekali lagi? Silakanlah, Kaa’b menjawab. Kemudian mereka menyambung lagi perbualan sambil berjalan-jalan. Lalu Abu Naelah berkata: Boleh aku cium lagi? Kaa’b berkata: Boleh, silakanlah. Abu Naelah memegang kepala Kaa’b dengan begitu kemas, seolah-olah ingin mencium. Lalu beliau menjerit: “Ini dia musuh Allah. Lalu para sahabat yang turut sama dalam kumpulan Muhamad bin Maslamah, terus menghunuskan pedang silih berganti membunuh Kaa’b. Namun tikaman mereka masih belum berkesan. Lalu Muhammad bin Maslamah pun menikam perut Kaa’b dengan senjatanya, lalu Kaa’b jatuh terkulai-kulai. Akhirnya matilah Kaa’b al-Ashraf.
Kemudian kumpulan ini pulang dan menyampaikan khabar gembira ini kepada Rasulullah saw. Rasulullah saw bersyukur dan sangat gembira.
Apabila kaum Yahudi mengetahui kematian pelampau Kaa’b al-Ashraf, ketakutan pun mula menyelubungi perasaan dan hati-hati mereka. Barulah mereka tahu yang Rasulullah saw tidak akan berlengah untuk menggunakan kekerasan apabila nasihat tidak memberi kesan kepada mereka yang cuba mencabar keamanan, menimbulkan kekacauan dan tidak menghormati perjanjian. (Al-Mubarakfuri, Safiy al-Rahman, al-Rahiq al-Makhtum (Mekah:Rabitah al-Alam islami, 2005), m/s 3


No comments:

Post a Comment