Pages

Saturday 29 September 2012

ULAMA YANG JAHAT - TAFSIR AYAT 42 SURAH AL-BAQARAH



TAFSIR AL-QURAN SURAH AL-BAQARAH AYAT 42
OLEH : USTAZ MAT RAZALI MAT LAZIN


وَلاَ تَلْبِسُواْ الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُواْ الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

42. Dan janganlah kamu campur-adukkan yang hak dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu  sedang kamu mengetahui.
Di antara yang mereka sembunyikan itu ialah: Tuhan akan mengutus seorang Nabi dari keturunan Ismail yang akan membangun umat yang besar di belakang hari, iaitu Nabi Muhammad s.a.w
Setelah Allah swt menyebut didalam ayat yang lepas berkenaan perihal orang  Yahudi yang mendustakan Al-Quran, Allah jua melarang hambaNya daripada menjual agama dan mencari kesenangan dunia dengan menggadaikan nilai agama Allah pada harga yang murah. Inilah yang disebut pada ayat :-

وَلاَ تَشْتَرُواْ بِآيَاتِي ثَمَناً قَلِيلاً

Dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang rendah (surah Al-Baqarah ayat 41)
Kemudian pada ayat ini  Allah melarang manusia daripada menyembunyikan haq ( kebenaran ) dan jangan mencampurkan antara perkara halal dan haram. Larangan ini merupakan larangan yang besar dan serius. Hal ini kerana haq menentukan halal dan haram adalah ketentuan Allah dan haqNya semata-mata. 
Kaedah inilah yang telah disebut oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawy dalam kitab Al-Halal wa Al-Haram fi Al-Islam sebagai :-

التحليل والتحريم حق الله وحده

“ Menentukan hak halal dan haram adalah hak dan kepunyaan Allah swt Yang Esa ”

Al-Quran telah menempelak golongan yang mencampur adukkan antara kebenaran dan kebathilan. Sehingga diatas tangan-tangan kotor mereka ini menyebabkan hukum Allah bercampur aduk antara larangan dan suruhan. Lalu golongan sebeginilah yang akan menjadi perosak kepada kesucian Agama Islam.
Kalau mereka jahil, tiada pengetahuan tentang yang hak, maka bolehlah dimaafkan. Tetapi apabila yang melakukan perkara ini dikalangan ulama dan cerdik pandai, maka perbuatan itu adalah perbuatan yang sangat buruk dan jahat. Ayat ini juga termasuk bagi orang yang mengetahui sesuatu ilmu yang baik namun menyembunyikannya diatas kepentingan duniawi, maka golongan ini adalah keji disisi Allah. (Lihat Tafsir Al-Quran di Radio oleh Ustaz Ahmad Sondhaji Mohamad, halaman 72)

Suatu kisah yang masyhur berkenaan hal ini diriwayatkan :

المذكور في قوله تعالى: اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّه {التوبة:31}. فعن عدي بن حاتم قال: أتيت النبي صلى الله عليه وسلم وفي عنقي صليب من ذهب فقال يا عدي اطرح عنك هذا الوثن، وسمعته يقرأ في سورة براءة: اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ. قال أما إنهم لم يكونوا يعبدونهم ولكنهم كانوا إذا أحلوا لهم شيئا استحلوه وإذا حرموا عليهم شيئا حرموه. رواه الترمذي وحسنه الألباني.

Pengertian dan pemahaman riwayat di atas adalah sesuai dengan penjelasan yang diberikan oleh terhadap Rasulullah SAW kepada Adi Bin Hatim. Dalam kes tersebut, Adi bin Hatim (yang  ketika itu sebagai seorang Nasrani) telah berkata,
“Aku pernah datang berjumpa Rasulullah dengan memakai rantai salib yang diperbuat daripada perak di leherku. Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Adi, lemparkanlah patung itu daripada lehermu!”. Kemudian aku melemparkannya. Setelah itu, beliau membacakan ayat: (Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan). Aku berkata, 'Sesungguhnya kami tidak menyembah mereka (pendeta dan rahib)'. Lalu Rasul membantah, 'Bukankah para pendeta dan rahib itu mengharamkan apa yang telah Allah halalkan, lalu kalian mengharamkannya. Mereka juga menghalalkan apa yang telah Allah haramkan, lalu kalian menghalalkannya?' . Aku menjawab, 'Memang benar.' Beliau bersabda, 'Itulah bentuk penyembahan kalian kepada para pendeta dan para rahib kalian.” (Rujuk Al-Halal wa Al-Haram fi Al-Islam oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawy)

Maksudnya: mereka mematuhi ajaran-ajaran orang-orang alim dan rahib-rahib mereka dengan membabi buta, biarpun orang-orang alim dan rahib-rahib itu menyuruh membuat maksiat atau mengharamkan yang halal.

وقال ابن القاسم في حاشيته على كتاب التوحيد: دلت على أن من أطاع غير الله في تحليل ما حرم الله، أو تحريم ما أحله فقد اتخذه ربا ومعبودا، وجعله لله شريكا

Justeru apabila melihat ayat-ayat ini, marilah kita insafi diri agar kita tidak termasuk dalam kalangan manusia yang dikurniakan ilmu tetapi menyembunyikan kebenaran bahkan lebih teruk lagi apabila mencampur adukkan hukum Allah demi kepentingan diri.. Wallahu A’lam.

No comments:

Post a Comment