Pages

Friday 14 March 2014

CINTA 14 @ 24

CINTA 24 ATAU 14
(Abu Khaulah Safiyyah)


Islam merupakan agama cinta. Padanya ada rahmat, kasih, sayang dan ukhuwwah. Islam agama yang membina hubungan. Ia menjadikan kehidupan manusia ini kehidupan yang penuh kasih sayang dan harmoni. Ia menjadikan manusia saling hormat-menghormati tidak kira apa jua latar kehidupan mereka.

CINTA DAN KASIH SAYANG

Cinta, kasih dan sayang itu fitrah. Allah s.w.t. Dan RasulNya s.a.w menjelaskan akan hal ini. Maka bercintalah kerana Allah Taala sebagaimana yang disebut daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda; "sesungguhnya Allah Taala berfirman pada hari kiamat kelak, "mana orang yang saling mencintai kerana keagungan Ku? hari ini Ku naungi mereka, di mana tidak ada naungan yang lain selain naungan Ku". Selain itu kasih sayang itu juga menarik rezeki dan memanjangkan umur sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda; "sesiapa yang ingin rezekinya dibanyakkan dan umurnya dipanjangkan, hendaklah ia menghubungkan silaturrahim". Sesungguhnya juga kasih sayang sebagai salah satu amalan utama sebagaimana sabda Rasulullah SAW; "sembahlah Allah dan jangan mempersekutukanNya, tegakkanlah solat, keluarkanlah zakat dan hubungkanlah kasih sayang",  riwayat al-Bukhari.

Allah menyayangi orang yang berkasih sayang. Hal ini dijelaskan didalam sabda Rasulullah SAW "sesungguhnya Allah menyayangi hamba-hambanya yang berkasih sayang" riwayat al-Bukhari. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya kasih sayang dalam Islam seperti sabdaan Rasulullah saw "barangsiapa yang tidak mahu menyayangi, tidak akan disayangi" dan sabda Rasulullah saw juga, "orang mukmin itu menyayangi dan disayangi. tidak ada kebaikan bagi orang yang tidak menyayangi dan disayangi.



BAGAIMANA RASULULLAH SAW MENUNJUKKAN TELADAN CINTA ?

Rasul sendiri selalu memberikan kehangatan kepada isteri-isterinya, terutama Aisyah. Beliau selalu bermain serta memuji Aisyah. Sederhana dan mudah dipraktikkan untuk memelihara kehangatan. Contohnya dengan mengamalkan untuk mencium isteri 3 kali dalam sehari. Tidak perlu sembunyi-sembunyi. Kalau boleh, dihadapan anak-anak agar mereka boleh melihat ibubapanya yang bahagia.

Rasul juga selalu mencontohkan untuk menyampaikan kata-kata yang baik kepada isteri setiap hari seperti, “Kamu cantik sekali hari ini.” Rasul mencontohkannya dengan selalu memanggil Aisyah dengan jolokan si “pipi merah”. Ekspresi seperti ini, walaupun nampak mengada-ngada, tetapi ia merupakan doa yang terungkap dari dalam hati.

Tidak perlu membelikan alat-alat kecantikan yang mahal agar isteri menjadi semakin cantik dari hari ke hari. Cukup dengan memujinya setiap hari, maka isteri akan kelihatan lebih cantik, meskipun semakin tua dari hari ke hari. Kerana kecantikan isteri ada di dalam hatinya.

Amalan baik ini akan selalu dilihat oleh Allah. Allah berjanji apabila ada hambanya yang melakukan kebaikan dengan berusaha memelihara kasih sayang dan menjaga cinta sebagai seorang suami kerana Allah, Allah akan semakin mendekatinya.

Bila hambanya mendekati dengan berjalan, Allah akan menjemputnya dengan berlari. Janji ini sepatutnya dijadikan motivasi bagi kita untuk selalu menjaga keluarga kita sebaik-baiknya.


CINTA KITA , 24 ATAU 14 ?

Seringkali tatkala februari menjelang, maka bulan yang dianggap keramat cinta ini sentiasa menjadi medan maksiat. Ia tidak pernah gagal menghanyutkan anak muda dan masyarakat dengan cinta palsu, cinta haram, cinta dusta yang hanya menjdi kilang menghasilkan anak-anak zina dan luar nikah. Ia hanya bulan cinta yang bermusim. Ia cinta yang didongengkan pada 14 februari. Sedangkan Islam agama yang menyeluruh dan syumul. Cintanya 24 jam setiap masa....bukan hanya pada angka keramat 14 februari untuk manusia menghalalkan cinta haram. Cinta sepasang kekasih yang mabuk nafsu yang menatijahkan zina dan perhubungan haram dihalalkan atas nama cinta.

Maka manusia yang berjalan diatas agama Islam, sentiasa merasakan rahmat dan kasih sayang Allah dan Rasulullah adalah cinta yang sempurna 24 jam dalam hidupnya. Kemudian cinta itu diterjemahkan dalam bentuk yang halal melalui pernikahan. Sang suami mengasihi isterinya, bapa mengasihi anaknya, anak mengasihi ibu bapanya, mengasihi saudara mara, mengasihi sesama muslim, juga menghormati sesama bukan Islam. Inilah cinta yang sebenar. Cinta realiti dan bukan dongengnya valentines mahupun Romeo dan Juliet.

VALENTINES DAY, DONGENG CINTA HARAM YANG MEMUSNAHKAN

Tarikh 14 Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14 Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya. Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.

Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masehi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabdanya: Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512.

KESIMPULAN.

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). – al-Israa’ : 32

Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Valentine adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Akhirnya marilah kita merasai kehangatan kasih sayang agama Islam yang tulen dan menepati fitrah manusia. Cinta Islam 24 jam dan bukannya 14 februari semata-mata.

No comments:

Post a Comment