Pages

Friday 21 March 2014

KHUTBAH JUMAAT 21 MAC 2014

KHUTBAH JUMAAT : JAUHI MAKSIAT HIDUP BERKAT AGAMA SELAMAT


الحَمْدُ ِللهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتِ , وَأَشْهَدُ أَنْ لا إِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ , اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلى عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ
أَمَّا بَعْدُ فَيَا أَيُّهَا المُؤْمِنُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ
قال الله تعالى : 
وَلا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلا

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.
(surah Al-Isra' ayat 32)

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,

Pada hari Jumaat yang mulia ini yang disifatkan oleh baginda nabi saw sebagai sayyidul ayyam iaitu penghulu segala hari, maka marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan menunaikan tanggungjawab amar makruf dan nahiy munkar.

Semoga hari yang barakah ini memberikan dan menghadirkan keberkatan, kerahmatan dan keampunan kepada kita ... insyaAllah.

SIDANG JUMAAT SEKALIAN ,

Ayat yang dibacakan sebentar tadi merupakan ayat Allah didalam Surah Al-Isra' ayat ke 32. Ia merupakan suatu bentuk tegahan dan peringatan yang hebat dari Tuhan Yang Maha Tahu, Allah Jalla wa ' ala. Ia merungkai berkenaan larangan hamba dari mendekati salah satu dosa dan perkara yang diharamkan Allah Taala iaitu seks bebas atau disebut sebagai zina. 

Sebagaimana yang kita maklum, Islam merupakan agama yang meraikan fitrah insani. Ia agama yang suci, tidak memandu hidup manusia kepada sifat kebuasan, sifat kehaiwanan, tetapi ia menuntun hidup manusia kearah hidup suci, sempurna, fitrah dan padanya nilai manusiawi.


SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH,

Hukum Islam mempunyai makna dan tujuan didalam menjaga kemaslahatan iaitu untuk kebaikan manusia. Ia menjaga nyawa, akal, keturunan, harta dan maruah manusia. Ia menjadikan manusia itu hidup dalam keadaan selamat sejahtera sesuai dengan makna Islam itu sendiri. Namun dalam memahami perkara ini, ada manusia yang sesat. Ia bukan hanya melibatkan golongan kafir yang buta berkenaan Islam, ia juga berlaku dalam kalangan umat manusia yang mengaku sebagai muslim. 

Dalam minggu ini kita dikejutkan dengan berita yang sangat menghiris hati kita sebagai umat Islam. Kisah kematian anak muda yang disebabkan "overdose" dadah ketika acara konsert FUTURE MUSIC FESTIVAL ASIA 2014 (FMFA2014) di bukit Jalil. Ia menyentap jantung hati manusia yang sayangkan agama. Manakan tidak, kematian ini bukan sekadar menjengah isu sosial, ia melibatkan isu agama dan runtuhnya nilai agama dalam jiwa orang Islam. Ini kerana diantara yang meninggal itu melibatkan anak muda Islam yang rata-rata diumur awal 20-an. Ini sesuatu yang sungguh mengaibkan. Daripada 6 mangsa, 4 adalah berbangsa Melayu, 1 bangsa Cina dan 1 bangsa India. Mangsa berumur 19 hingga 27 tahun. 3 orang yang cedera kini sedang menjalani rawatan Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). 2 yang cedera adalah warga Singapura.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI DAN DIBERKATI ALLAH,

Didalam kegawatan, kegusaran dan kegundahan kita dengan tragedi MH370, ada pihak yang sangat bebal dan tidak sensitif dengan isu dan masalah negara. Mereka seolah-olah kering dengan isu. Tatkala umat Islam yang lain menadah tangan merayu dan merintih kepada Allah agar dibukakan jalan dan solusi bagi segala masalah melanda, adanya pula puak-puak berhati keras dan dungu menganjurkan konsert maksiat dan penuh kemungkaran ini. Ya, ia konsert HARAM & MUNGKAR. kerana padanya ada pergaulan bebas, ada upacara seks bebas, zina, minum arak, pengambilam dadah dan sebagainya. Ia merupakan suatu konsert yang sepatutnya tidak boleh wujud didalam negara umat Islam.

Oleh kerana itulah apabila kita menyemak balik apa yang diungkapkan oleh Imam As-Syatibi dalam kitabnya Al-muwafaqat bahawa syariat yang diturunkan oleh Allah kepada manusia adalah untuk dipraktikkan. Tanggung jawab untuk mempraktikkannya ini dipanggil taklif. Taklif menurut al-Syatibi hendaklah mampu dipikul oleh manusia, malah para ulama telah berijma' tiada taklif di luar kemampuan manusia .

Maka begitulah keindahan Islam. Ia mengatur hidup manusia pada landasan syariat dan peraturan. Manusia tidak boleh hidup bebas tanpa aturan wahyu. Jika tidak manusia akan menjadi seperti haiwan, yang bebas bertukar pasangan, bebas memakan makanan kotor dan merosakkan akal dan jasmani, bebas melakukan perbuatan keji yang mengundang bahaya dan bencana yang akhirnya menatijahkan kematian didalam kemurkaan.

SIDANG JUMAAT SEKALIAN,

Hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Hakim, daripada Abu Hurairah RA:

من زنىأ وشرب الخمر نزع الله منه الإيمان كما يخلع الإنسان القميص من رأسه 
(رواه الحاكم عن أبى هريرة)

Maksudnya: Barang siapa yang berzina dan meminum arak, Allah mencabut daripadanya iman sepertimana seseorang manusia menanggalkan baju daripada kepalanya.


قال النبي صلى الله عليه وسلم : البكر بالبكر جلد مائة ونفي سنة. رواه مسلم.

Maksudnya : Perempuan dengan Lelaki (yang belum berkahwin) berzina disebat seratus kali dan dibuang negeri setahun.


SIDANG JUMAAT YANG DIHORMATI SEKALIAN,

Janganlah kita bersikap berdiam diri dengan alasan hal ini tidak melibatkan diri secara langsung. Perlu diingatkan kerosakan yang berlaku ini akan tetap menimpa kita, jika tidak sekarang mungkin pada masa akan datang.

Firman Allah di dalam Surah Ar-Rum, ayat 41 :

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Firman Allah di dalam Surah Al-Anfal, ayat 25 :

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.

Di dalam konsep menegah kemungkaran, sama-samalah kita memelihara diri, keluarga dan masyarakat daripada terjatuh ke dalam lembah kemaksiatan. Tindakan kita pada hari ini akan menentukan masa depan kita pada hari esok. Allah akan bertanya apakah yang telah anda lakukan demi menyelamatkan anak bangsamu?


SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Akhirnya marilah kita bersatu menolak sebarang bentuk maksiat dan kemudharatan. Kita mesti membenci segala perkara yang dtegah oleh agama. Hal ini mencerminkan tahap keimanan didalam hati kita. Kita membenci arak, judi, zina, perkara khurafat, tahyul, dan pelbagai lagi dosa dan kemungkaran kerana kita bimbang dengan kemurkaan Allah. Kita tidak mahu menjadi hamba yang munafik yang pada suatu masa menadah tangan agar Allah menurunkan pertolongan tetapi dalam masa yang sama hati redha dan tidak benci kepada maksiat. Maka adilkah kita memohon rahmat Allah dengan cara mempersembahkan kemaksiatan kepada Allah.

Sebagai akhirnya juga hendaklah kita mengakui kesilapan kita dan bertaubat. Jangan kita pula membina hujjah untuk menghalalkan apa yang Allah haramkan. Tiada kebaikan pada perkara dosa. Janganlah mengalihkan tumpuan kononnya konsert sebegitu akan mendatangkan dana dan pendapatan untuk negara dan pihak tertentu. Itu hanyalah mainan syaitan untuk menyesatkan umat manusia. Akhirnya manusia akan terus tenggelam dengan janji palsu Iblis yang merosakkan manusia dan musuh utama bagi manusia.


Firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 90-91 :-

قال الله تعالى: { يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ. إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاء فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللّهِ وَعَنِ الصَّلاَةِ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ } المائدة91-90


“Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan”.

“Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; Maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)”.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ










No comments:

Post a Comment