Pages

Sunday 16 March 2014

SYARAH MATAN AQIDAH THAHAWIYAH :- matan 1

NOTA PENGAJIAN KITAB AQIDAH THAHAWIYAH  
( MENARA PETRONAS KOTA KINABALU )

نقول ؛ في توحيدالله معتقدين بتوفيق الله : إن الله واحد لا شريك له

Kami berkata, “Dalam masalah ketauhidan kami menetapkan bahawa Allah adalah Maha Esa; tidak ada sekutu bagi-Nya.


Penjelasan:

Menafikan adanya sekutu bagi Allah baru sempurna bila telah menafikan tiga macam perbuatan syirik, iaitu syirik dalam rububiyah Allah, syirik dalam uluhiyah Allah, dan syirik dalam nama dan sifat-sifat Allah.

Syirik dalam rububiyah Allah.

Syirik dalam masalah rububiyah Allah, maksudnya seseorang meyakini bahwa di samping Allah masih ada tuhan lain yang menjadi pencipta. Keyakinan ini sebagaimana dipegangi oleh kaum Majusi yang mengatakan bahwa ada sesuatu selain Allah yang menciptakan perkara baik atau buruk.
Kesyirikan bentuk ini di kalangan umat Islam sangatlah sedikit. Ada perkataan yang mendekati syirik bentuk ini, iaitu perkataan yang dikemukakan oleh kaum Mu’tazilah. Mereka berkata, “Keburukan tidak lain hanyalah merupakan perbuatan manusia semata-mata.” Rasulullah saw mengisyaratkan bahawa perkataan tersebut termasuk syirik dalam sabdanya, “Kaum Qadariyyah merupakan majusi umat Islam.”

2. Syirik dalam uluhiyah Allah.

Syirik dalam uluhiyah Allah atau dalam perkara ibadah iaitu seseorang di samping menyembah Allah juga menyembah selain Allah, seperti menyembah para wali, menganggap para nabi memiliki kedudukan di maqam KeTuhanan dan sebagainya.

Bentuk penyembahan kepada mereka kemungkinan berupa meminta pertolongan dan meminta diampunkan dosa dan kesalahan. Sayang sekali, syirik bentuk ini banyak dilakukan oleh kaum muslimin. Sebagai contoh yang berlaku ialah menyembah kuburan memohon kebaikan atau untuk tujuan maksiat seperti ramalan nombor ekor. Ada juga manusia bodoh yang bercita-cita mengambil maqam Ketuhanan lalu menggelarkan dirinya Tuhan seperti Tuhan Ayah Pin yang sesat lagi menyesatkan.

3. Syirik dalam sifat-sifat Allah.

Syirik dalam sifat-sifat Allah, iaitu seseorang memberikan sifat-sifat kepada makhluk Allah yang sebenarnya sifat-sifat tersebut merupakan kekhususan bagi Allah, misalnya tahu tentang perkara ghaib.
Syirik bentuk ini banyak tersebar di kalangan orang-orang yang kononnya mahir dengan ilmu ghaib dan kebatinan. Mereka mendakwa mengetahui perkara ghaib, berhubung dengannya an memanipulasinya. Dari keyakinan batil tersebut muncullah para dajjal yang mengaku benar-benar melihat Rasulullah saw, bukan dalam mimpi, lalu mereka menanyakan pelbagai perkara ghaib berkaitan agama dan syariat, dengan harapan beliau memberi jalan keluar dalam masalah tersebut. Padahal Rasulullah saw semasa hidupnya sama sekali tidak mengajarkan hal seperti itu. Dalam Al Qur’an disebutkan:

“Kalau saya mengetahui perkara ghaib nescaya saya banyak mendapatkan kebaikan dan tidak akan pernah tertimpa keburukan.” (QS. Al A’raf: 188)

Jika selama masih hidup saja Rasulullah saw mengatakan seperti itu, bagaimana mungkin setelah baginda wafat akan mendakwa perkara ghaib tertentu sebagaimana yang didakwa golongan sesat.

Ketiga bentuk syirik di atas harus kita jauhi. Barangsiapa yang menafikan ketiga syirik tersebut, lalu dia mentauhidkan Allah dalam rububiyah, uluhiyah, dan sifat-sifat-Nya, maka dia dikatakan sebagai seorang yang bertauhid, yang akan mendapatkan ke- utamaan-keutamaan khusus dari Allah. Sebaliknya, barangsiapa yang tidak mau menafikan ketiga syirik tersebut, maka dia akan mengalami nasib sebagaimana disebutkan dalam firman Allah,

“Sungguh, bila kalian berbuat kesyirikan, amalanmu akan sirna, dan kamu termasuk orang-orang yang rugi.” (QS. Az Zumar: 65)

Perhatikan masalah ini baik-baik! Kerana masalah ini termasuk bahagian terpenting dalam masalah aqidah. Oleh kerana itu, sangatlah tepat kalau penulis kitab ini mendahulukan masalah tersebut. Sesungguhnya Allah berfirman, 

“Wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah lebih dulu beriman.” (QS. Al Hasyr: 10)

No comments:

Post a Comment