Pages

Friday 14 March 2014

KHUTBAH JUMAAT : MH370 , Jangan Khurafat Dalam Berikhtiar

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …


Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

SIDANG JUMAAT SEKALIAN;

وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ عَلَى مُلْكِ سُلَيْمَانَ وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ وَمَا أُنْزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوتَ وَمَارُوتَ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّى يَقُولا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلا تَكْفُرْ فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ وَمَا هُمْ بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلا بِإِذْنِ اللَّهِ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلا يَنْفَعُهُمْ وَلَقَدْ عَلِمُوا لَمَنِ اشْتَرَاهُ مَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاقٍ وَلَبِئْسَ مَا شَرَوْا بِهِ أَنْفُسَهُمْ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ


Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil yaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorang pun sebelum mengatakan: "Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir". Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan istrinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudarat dengan sihirnya kepada seorang pun kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudarat kepadanya dan tidak memberi manfaat. Demi, sesungguhnya mereka telah meyakini bahwa barang siapa yang menukarnya (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahui. Surah Al-Baqarah ayat 102.
 
Ayat Allah ini menjelaskan tentang kisah berkenaan perbuatan sihir yang membawa kepada kesyirikan. Sesungguhnya ilmu yang diajar oleh syaitan ini seringkali berjaya menyesatkan manusia dari jalan Tuhannya. Ia sentiasa mengambil ruang dan peluang didalam menyesatkan manusia. Kadangkala peluang itu datang ketika Allah menguji manusia dengan ujian sabar dan tawakkal. Lalu manusia yang gopoh menghadapinya mencari jalan singkat dalam membina penyelesaian.

Di dalam kehidupan ini, Allah Taala menjelaskan kepada kita bahawa adanya ujian didalam kehidupan. Manusia sentiasa diuji. Ada ujian yang akan membawa manusia ke jalan keredhaan Allah dan ada juga ujian yang jika gagal dilalui dengan iman , ia akan mengundang laknat dan kemurkaan Allah. 

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN ;

Tragedi MH370 yang masih menjadi tanda tanya kepada kita di negara ini khasnya dan seluruh dunia amnya merupakan suatu ujian besar yang Allah timpakan kepada umat manusia. Ia menunjukkan betapa lemahnya manusia didalam perancangan dan tindakan. Bahkan perancangan, teori, solusi dan pandangan manusia amat cetek sehingga semuanya gagal menemui jalannya melainkan ia dibawa datang dengan pertolongan Allah swt.

Allah menjadikan ujian kehilangan MH370 sebagai peringatan kepada kita. Walaupun kita bukanlah mangsa yang berada didalam pesawat atau waris keluarga mereka, namun sebagai mukmin kita mengasihi dan mengambil berat akan hal ehwal mukmin yang lain. Inilah ikatan kasih sayang yang menjadikan kita mukmin yang berada dalam lindungan Allah.

Tragedi ini sekiranya kita melihat dengan cerminan taqwa, menjelaskan kepada kita akan betapa hamba mesti meletakkan dan menggantungkan  keimanannya kepada Allah swt. Iman yang menguji amanah kita dalam menyampaikan khabar. Maka kesan daripada tragedi ini, kita melihat akan ada sebahagian manusia yang tidak jujur dalam menaqalkan khabar. Lalu khabar angin dan palsu disebarkan dan diolah seolah-olah menjadi khabar yang benar. Begitulah juga agama Allah, banyak manusia yang tidak jujur sehingga apa yang Allah haramkan diolah seakan halal dan apa yang Allah halalkan diubah menjadi haram. Lalu urusan agama menjadi haru biru dan hukum Allah semakin ramai yang berani mempersendakannya.

SIDANG HADIRIN SEKALIAN ;

Aqidah merupakan asas dan tunjang agama bagi setiap muslim dan mukmin. Sekiranya aqidah manusia itu rosak, ia akan memutuskan hubungan ibadah antara makhluk dan Tuhannya. Maka perkara penting sebegini bukanlah perkara yang boleh dipersendakan dan dipandang mudah. 

Sejak berlakunya tragedi kehilangan pesawat MH 370, ramai yang diuji imannya. Bukan saja ujian kesabaran, bahkan ujian adakah manusia itu bertauhid dan beraqidah dengan benar. Lalu tidak mustahil ujian ini berjaya mendedahkan kebathilan sebahagian orang yang mula menjadi tukang nujum dan tukang ramal dalam mengada-adakan berita berkaitan perkara ghaib.

Sesungguhnya ianya merupakan perbuatan khurafat, bathil dan boleh mensyirikkan Allah swt. Dalam satu hadis ada dinyatakan:

Maknanya: Nabi saw bersabda: “Kamu hendaklah menjauhi tujuh perkara yang membinasakan”. Baginda ditanya: “Apakah tujuh perkara itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Menyekutukan Allah, sihir...”. [Diriwayatkan oleh Muslim]

Didalam hadis yang lain, nabi saw bersabda; 

(مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةُ أَرْبَعِينَ))
[مُسْلِمٌ وَالْإِمَامُ أَحْمَدُ عَنْ صَفِيَّةَ بِنْتِ أَبِي عُبَيْدٍ]

Sesiapa yang menemui peramal maka dia bertanyanya tentang sesuatu perkara tidak diterima solatnya 40 hari!

(( من أتى كاهناً أو عرافاً فصدقه بما يقول فقد كفر بما أنزل على محمد))
[أبو داود وأحمد والحاكم عن أبي هريرة]

Sesiapa yang datang bertemu dukun atau peramal, maka dia membenarkan dengan apa yang dikatakannya, maka dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Muhammad s.a.w!

وقد جاء بعض الوفود إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فظنوا أنه ممن يزعمون الاطلاع على الغيب، فخبؤوا له شيئا في أيديهم، وقالوا له: أخبرنا ما هو؟ فقال لهم في صراحة: "إني لست بكاهن، وإن الكاهن والكهانة والكهان في النار". "

Satu utusan datang ketempat Nabi, mereka menyangka Nabi seorang yang dapat mengetahui perkara ghaib. Kemudian mereka menyembunyikan sesuatu di tangan dan bertanya kpd Nabi”tahukah tuan apakah ini?”maka Nabi menjawab dengan tegas:
Sesungguhnya aku bukanlah seorang tukang tilik, sesungguhnya si tukang tilik dan perbuatan tilik dan bahkan semua yang bertilik dalam api neraka! - riwayat al-Bukhari ...dipetik dari al-halal wa al-haram fi al-Islam oleh al-Qaradhawi

Hadis-hadis yang sekian banyaknya ini menjelaskan kepada kita tentang amaran keras daripada Baginda Nabi saw tentang amalan meramal dan menilik sesuatu perkara yang diluar ilmu kita dan diluar keizinan Allah. Ditambah pula dengan dongeng mistik dan bacaan jampi serapah maka ianya jelas merupakan suatu bentuk penyelewengan khurafat kepada kita. Justeru penguasa atau pemimpin mestilah menyekat hal ini. Ini bukan sekadar perkara sah dan batal wudhuk, tetapi ini perkara yang membatalkan akidah yang menentukan syurga dan neraka, untung rugi hamba di akhirat nanti.

SIDANG JUMAAT SEKALIAN, 

Inilah akhir zaman yang disifatkan oleh baginda Rasulullah saw sebagai zaman fitnah. Ia zaman ujian. Manusia menilai sesuatu bencana, tragedi, dan peristiwa adakah diatas neraca Allah dan syariatnya atau hanya bergantung kepada kudrat insan. Kudrat yang lemah tiada daya. Maka sepatutnya juga hal ini dan tragedi ini mengembalikan pergantungan kita kepada Yang maha Tahu dan Maha Pencipta. Solat hajat, berdoa bahkan mesti berazam membetulkan segala kesilapan, maksiat, kezaliman, dan segala kemungkaran yang kita pernah lakukan kerana musibah juga membawa maksud teguran daripada Allah diatas kelalaian kita sehingga apabila Allah menurunkan musibah, ia juga tertimpa  kepada orang lain supaya menjadi peringatan kepada semua.

Firman Allah swt :-

إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يُدَبِّرُ الأمْرَ مَا مِنْ شَفِيعٍ إِلا مِنْ بَعْدِ إِذْنِهِ ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ فَاعْبُدُوهُ أَفَلا تَذَكَّرُونَ

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy untuk mengatur segala urusan. Tiada seorang pun yang akan memberi syafaat kecuali sesudah ada izin-Nya. (Zat) yang demikian itulah Allah, Tuhan kamu, maka sembahlah Dia. Maka apakah kamu tidak mengambil pelajaran?         
(Surah Yunus ayat 3.)


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ




No comments:

Post a Comment