Pages

Thursday 6 October 2011

MUNAFIQ - BUTA DALAM CAHAYA ( TAFSIR AYAT 17-20 SURAH AL-BAQARAH )

TAFSIR SURAH AL-BAQARAH AYAT 17-20
0leh : Mat Razali Bin Mat Lazin



مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا فَلَمَّا أَضَاءَتْ مَا حَوْلَهُ ذَهَبَ اللَّهُ بِنُورِهِمْ وَتَرَكَهُمْ فِي ظُلُمَاتٍ لا يُبْصِرُونَ
17. Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api,[1] maka setelah api itu menerangi sekelilingnya Allah hilangkan cahaya (yang menyinari) mereka, dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat.
مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا menurut tafsiran ibnu abbas[2] ialah gambaran Allah terhadap munafiqin yang telah meninggalkan Islam sehingga dicabut daripada mereka cahaya kebenaran. Sedangkan menurut ‘atho’ al-khurasani, inilah gambaran manusia munafiq yang telah mengetahui islam namun memiliki hati yang buta. Allah menggambarkan mereka sebagai orang yang menyalakan api, kemudian suasana menjadi terang dan mendapat manfaat darinya. Dan apabila cahaya itu terpadam, maka suasana menjadi gelap gelita.Maka kesudahan munafiq ini, Allah biarkan mereka dalam kesesatan dan Allah jauhkan mereka dari cahaya kebenaran. Cahaya Islam yang pernah mereka temui telah dihapuskan oleh Allah dan digantikan dengan kegelapan yang membutakan mata hati mereka.
صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لا يَرْجِعُونَ
18. Mereka tuli, bisu dan buta, maka tidaklah mereka akan kembali (ke jalan yang benar),
Walaupun pancaindera mereka sihat mereka dipandang tuli, bisu dan buta oleh kerana tidak dapat menerima kebenaran. Mereka tuli kerana tidak mendengar petunjuk, mereka juga bisu kerana tidak dapat mengeluarkan kata-kata bermanfaat, dan sesungguhnya buta dalam kegelapan serta jauh dari cahaya kebenaran. Inilah yang disebut oleh Allah :-
فَإِنَّهَا لا تَعْمَى الأبْصَارُ وَلَكِنْ تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ
Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.[3]
أَوْ كَصَيِّبٍ مِنَ السَّمَاءِ فِيهِ ظُلُمَاتٌ وَرَعْدٌ وَبَرْقٌ يَجْعَلُونَ أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ مِنَ الصَّوَاعِقِ حَذَرَ الْمَوْتِ وَاللَّهُ مُحِيطٌ بِالْكَافِرِينَ
19. atau seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit disertai gelap gelita, guruh dan kilat; mereka menyumbat telinganya dengan anak jarinya, kerana (mendengar suara) petir,sebab takut akan mati [4]. Dan Allah meliputi orang-orang yang kafir.
Dalam suatu riwayat dikemukakan, bahawa dua orang munafiq Madinah lari dari Rasulullah kepada kaum musyrikin. Di jalanan, mereka ditimpa hujan (sebagaimana diterangkan dalam ayat diatas bahawa hujan tersebut mengandung guruh yang dahsyat, petir dan kilat). Tiap kali ada petir mereka menutup telinganya dengan jari, karena takut memekakkan telinganya, dan mati karenanya. Apabila kilat bersinar, mereka berjalan. Dan apabila tiada sinar kilat, mereka tidak dapat melihat. Mereka kembali ke jalan semula untuk pulang dan menyesali perbuatan mereka dan keesokan harinya mereka menghadap kepada Rasulullah SAW menyerahkan diri masuk Islam dengan sebaik-baiknya. Allah mengumpamakan kejadian dua orang munafiq ini kepada kaum munafiqin lainnya yang ada di Madinah. Apabila menghadiri majlis Rasulullah SAW mereka menutup telinga dengan jarinya karena takut terkena oleh sabda Rasulullah SAW yang menerangkan hal ehwal mereka sehingga terbongkarlah rahsianya, atau mereka jadi tunduk, kerana terpikat hatinya. Perbandingan antara kedua orang munafiq dengan munafiqin Madinah ialah:
1. Kedua orang munafiq menutup telinganya kerana takut mendengar guruh yang memekakkan, dan apabila kilat bersinar mereka berjalan. Sedang kaum munafiqin Madinah menutup telinga kerana takut terkena sabda Rasul. Akan tetapi di saat banyak harta, anak buah dan mendapat ghanimah atau kemenangan, mereka ikut serta dengan kaum Muslimin dan berkata: "Nyatalah sekarang benarnya agama Muhammad itu." Dan mereka merasa tenteram.
2. Kedua orang munafiq apabila tiada cahaya kilat, mereka berhenti dan terpegun. Sedang kaum munafiqin Madinah apabila habis hartanya, anak buahnya dan terkena musibah, mereka berkata: "Inilah akibat agama Muhammad." Mereka kembali murtad dan kufur.[5]
يَكَادُ الْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصَارَهُمْ كُلَّمَا أَضَاءَ لَهُمْ مَشَوْا فِيهِ وَإِذَا أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
20. Hampir-hampir kilat itu menyambar penglihatan mereka. Setiap kali kilat itu menyinari mereka, mereka berjalan di bawah sinar itu, dan bila gelap menimpa mereka, mereka berhenti. Jikalau Allah menghendaki, nescaya Dia melenyapkan pendengaran dan penglihatan mereka. Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu.
Menurut ‘ali bin abi talhah, ibnu abbas menerangkan bahawa setiap kali kilat menyinari mereka, mereka berjalan di bawah sinar itu ialah gambaran sifat munafiq iaitu apabila islam menang, mereka akan bersama-sama mengaut keuntungan dengan kemenangan itu. Bahkan mereka akan memuja dan memuji agama Allah demi kepentingan mereka. Namun Allah menjelaskan, " dan bila gelap menimpa mereka, mereka berhenti"  ialah sikap munafiq yang apabila Islam berada dalam kelemahan, maka mereka akan kufur dan mula mencela dan mencaci Islam. Namun Allah, maha mengetahui akan tipu daya dan kelicikan mereka. Allah jua maha berkuasa mengahpuskan semua tindakan mereka.
Wallahu a’lam.


[1] Orang-orang munafik itu tidak dapat mengambil manfaat dari petunjuk-petunjuk yang datang dari Allah, kerana sifat-sifat kemunafikan yang bersemi dalam dada mereka. Keadaan mereka digambarkan Allah seperti dalam ayat tersebut di atas.
[2] diriwayatkan daripada abu solih katib al-laithi, dari muawiyah bin soleh,dari ali bin abi talhah dan daripada ibnu abbas.
[3] Surah Al-Hajj ayat 46
[4] Keadaan orang-orang munafik itu, ketika mendengar ayat-ayat yang mengandung peringatan, adalah seperti orang yang ditimpa hujan lebat dan petir. Mereka menyumbat telinganya kerana tidak sanggup mendengar peringatan-peringatan Al-Quran itu.
[5] (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari abi Shaleh yang bersumber dari Ibnu Abbas, Murrah, Ibnu Mas'ud dan beberapa orang shahabat lainnya.)

No comments:

Post a Comment